
Pengarah Eksekutif Dewan Perniagaan dan Perindustrian Antarabangsa Malaysia, Shaun Cheah berkata, Malaysia tidak lagi mempunyai kelebihan cukai berbanding negara lain dan perlu meneliti untuk memiliki tenaga kerja mahir yang turut menguasai pelbagai bahasa.
Faktor lain termasuk mempunyai undang-undang komersial yang baik, tanah dan infrastruktur baik seperti pelabuhan, jalan raya, sambungan internet, bekalan air serta elektrik stabil.
Presiden Persekutuan Pekilang Malaysia, Soh Thian Lai berkata, kebanyakan negara Asia Tenggara bersetuju melaksanakan cukai itu dan pelaksanaannya tidak patut menjejaskan kedudukan Malaysia sebagai hab pelaburan dan pengeluaran atau menyebabkan MNC memindahkan operasi mereka.
Beliau bersetuju MNC didorong faktor seperti jarak dekat untuk mendapatkan bahan dan perkhidmatan, selain kos operasi dan tarif tidak membebankan mereka.
Cheah dan Soh bersetuju pelaksanaan cukai yang diumumkan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) pada Isnin lalu adalah langkah baik.
Cheah berkata, terdapat keperluan untuk kejelasan mengenai peraturan baharu itu bagi mengelakkan salah tafsir.
Cukai global baharu itu dimulakan Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) yang menyatakan 136 negara, termasuk Malaysia bersedia melakukan pembaharuan dalam sistem percukaian global.
Isnin lalu, Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Nizom Sairi berkata, Malaysia pada dasarnya bersetuju untuk melaksanakan GMT ke atas MNC tertentu.
Katanya, pembaharuan sistem percukaian antarabangsa itu dijangka dilaksanakan mulai 2023 di seluruh dunia dan Malaysia akan mematuhi keputusan yang dibuat di peringkat OECD.
Ahli ekonomi, Nazari Ismail dari Universiti Malaya menyifatkan GMT sebagai langkah “munasabah” kerana ia akan menghalang MNC daripada memanipulasi kos operasi mereka untuk memanfaatkan kadar cukai berbeza di pelbagai negara.
“Semua negara kini akan menerima hasil cukai 15% daripada MNC yang beroperasi di negara mereka. Ruang untuk MNC meminimumkan pembayaran cukai dengan mempraktikkan harga pindahan juga akan dikurangkan,” katanya kepada FMT Business.
Beliau berkata, cukai baharu itu akan menghalang negara daripada bersaing satu sama lain melalui pengurangan kadar cukai, yang memanfaatkan MNC tetapi tidak menguntungkan negara tuan rumah.