
Selain untuk mengubat kerinduannya kepada masakan tempatan, Mohd Fikri Mohd Jumat turut berkongsi hidangan tersebut dengan rakan sekerjanya dari pelbagai negara.
Fikri, 33, masih ingat kali pertama dia memasak lauk udang masak lemak, sambal petai serta ayam goreng untuk menjamu rakan sekerjanya dan siapa sangka, mereka mula jatuh cinta dengan masakan tersebut.
Sejak itu, Fikri atau lebih dikenali dengan nama Fikri Akram di media sosialnya mula memasak dan memperkenalkan pelbagai makanan tradisi Malaysia antaranya nasi lemak, nasi dagang, nasi kerabu, laksa utara, mee kolok serta kuih muih.

Video beliau memasak makanan tradisi dan menjamu selera rakan-rakannya itu turut meraih tontonan yang tinggi di media sosial miliknya yang kini diikuti lebih 900,000 pengguna.
“Saya bekerja di luar negara, mengapa tidak saya perkenalkan (Malaysia) dengan skala kecil iaitu dengan rakan sekerja di Korea.
“Usaha-usaha kecil ini dapat memberi impak yang besar. Kita tidak boleh mengharapkan kementerian pelancongan semata-mata, kita sebagai rakyat boleh jadi ejen-ejen kecil untuk perkenal negara kita,” katanya kepada FMT.
Berkongsi pengalamannya, Fikri berkata masakan yang paling digemari rakan-rakannya di Korea adalah nasi lemak dan mereka pasti akan ternanti-nanti beliau menghidangkan masakan itu.
“Kalau saya masak nasi lemak memang mereka akan tambah dua kali. Majikan saya kata nasi lemak ayam berempah paling sedap.
“Mereka kata kalau hendak makan lagi, nampaknya kena datang Malaysia,” katanya yang pernah menjamu rakan sekerja dari Korea, Sepanyol, Itali, Amerika Syarikat dan lain-lain.
Sama seperti Fikri, seorang lagi jurutera di Melaka, Reen Mohammad juga menggunakan platform kerjayanya di sebuah syarikat multinasional, untuk memperkenalkan Malaysia kepada rakan sekerjanya dari pelbagai negara.

Reen, 40, yang berkhidmat dengan syarikat kejuruteraan berpangkalan di Jerman berkata bekerja dengan rakan dari pelbagai negara membuka ruang untuknya menceritakan keunikan budaya, makanan dan lokasi pelancongan menarik kepada mereka.
“Saya dengan bangga dan yakin beritahu rakan sekerja, di Malaysia anda boleh ke mana-mana sahaja tanpa risaukan apa-apa ancaman.
“Hanya jaga keselamatan diri sahaja. Malaysia sangat selamat,” kata alumni Kejuruteraan Elektrik, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) itu.
Reen juga berbangga apabila majikan luar negara semakin mengiktiraf tenaga mahir kelahiran tempatan yang akhirnya memberi manfaat ekonomi kepada negara.
Ibu kepada dua cahaya mata ini membuktikannya anak tempatan juga mampu mengetuai projek berskala besar membabitkan kolaborasi beberapa negara antaranya Singapura, Indonesia, Thailand, Vietnam, China, Jepun, Filipina, Korea, Mexico, Jerman, Austria serta Poland.
“Bila bermajikan orang luar, bukan kita khianat pada negara. Bila pelabur datang, rakyat Malaysia akan dapat manfaat dari segi peluang pekerjaan.
“Kita juga boleh ambil peluang jadi ‘duta kecil’ perkenalkan Malaysia”, katanya yang terlebih dahulu memulakan kariernya dengan syarikat Jepun pada 2010.
Bagi Fikri dan Reen, walau di mana kita berada, dengan siapa kita bekerja, masing-masing ada cara tersendiri untuk menzahirkan rasa cinta, kasih dan sayang pada negara.