Syarikat Bumiputera Islam ‘singsing lengan’ tangani krisis makanan

Syarikat Bumiputera Islam ‘singsing lengan’ tangani krisis makanan

Global Ikhwan ceburi bidang pertanian dan perikanan untuk membantu meningkatkan bekalan makanan di Malaysia.

Global Ikhwan menyertai inisiatif kerajaan untuk membantu negara mengatasi masalah kekurangan bekalan makanan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Malaysia yang mempunyai hampir sejuta hektar tanah pertanian, namun tetap menghadapi kesukaran dalam memastikan bekalan makanan mencukupi untuk rakyatnya.

Hampir 60% makanan di negara ini diimport dari negara lain, tidak kiralah daging mahupun sayuran atau bijirin, malah bil import makanan pada 2020 saja mencecah RM55.5 bilion.

Kebanyakan dedak untuk haiwan ternakan kecil tempatan juga diimport. Pada 2020, Malaysia membelanjakan RM4.6 bilion untuk membeli dedak haiwan, kebanyakannya merangkumi gandum, mil oat, barli, bijian dan jagung dari luar negara.

Bagi Global Ikhwan Services and Business Holdings Sdn Bhd (GISBH), krisis ini mewujudkan peluang perniagaan. Syarikat Bumiputera Islam itu mahu memainkan peranan dalam membantu negara mengatasi masalah kekurangan makanan, dan untuk tujuan itu, ia mengambil bahagian dalam program serta inisiatif yang diperkenalkan kerajaan.

Sebagai contoh, ia kini mengambil bahagian dalam projek penanaman padi di Rompin, Negeri Sembilan. Projek di bawah naungan Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) itu melibatkan penanaman padi di tanah seluas lebih 11,000ha di Rompin dan Pekan, Pahang.

Syarikat itu turut mengusahakan hasil tanaman seperti tauge yang dibekalkan terus ke pasar, kata Ketua Pegawai Eksekutifnya, Lokman Hakim Pfordten kepada FMT Business.

Untuk rekod, kadar sara diri (SSR) Malaysia bagi beras dan sayur-sayuran masing-masing hanya 63% serta 44.4%, bererti usaha dilakukan GISBH amat signifikan. Menyelesaikan masalah bekalan makanan menjadi keutamaan GISBH.

“Dalam soal keselamatan makanan, kita perlu menggalas tanggungjawabnya. Masalah tidak akan selesai jika asyik menuding jari kepada orang lain,” kata Lokman.

“Bagi mencapai tujuan itu, kerajaan dan rakyat mesti seiring dari segi mengurangkan kebergantungan kita terhadap produk import. Kita perlu berusaha meningkatkan pengeluaran tempatan, khususnya keperluan dan makanan asas.”

Menurut data Jabatan Perangkaan, 77.8% daging lembu dan 90.4% daging kambing yang dimakan rakyat negara ini diimport. Bil import tahunan bagi daging lembu ialah RM2.2 bilion, manakala daging kambing ialah RM879.4 juta.

Lokman berkata, GISBH sentiasa mencari tanah sesuai untuk mengusahakan penanaman.

“Harga jagung import semakin naik. Akibatnya, ayam kini juga lebih mahal. Bagi memastikan petani mengurangkan kos pengeluaran, kami mengusahakan tanaman jagung untuk diproses menjadi dedak ayam,” katanya sambil menambah tiada pembaziran langsung kerana daun dan batang pokok jagung turut diproses sebagai makanan lembu dan kambing.

Bagi membantu petani mengurangkan kos pengeluaran, GISBH memulakan projek menghasilkan dedak ayam dan ikan sendiri. “Ia masih dalam skala kecil, tetapi hasilnya memuaskan.”

GISBH juga menceburi perikanan laut dalam untuk membantu memacu bekalan makanan laut di Malaysia. Setakat ini, ia membeli sebuah bot kelas C2 dan beberapa bot kecil untuk aktiviti penangkapan ikan di perairan Sabah.

“Kami turut menyasarkan untuk memiliki sehingga 10 kapal laut dalam berskala besar yang dilengkapi kemudahan penyimpanan dan pengetinan.”

Walaupun harga makanan terus meningkat, Lokman berkata, GISBH akan memastikan barangan dijual di kedai makan dan kedai rotinya ditetapkan harga kompetitif.

Selain usahanya ke arah menyelesaikan krisis makanan, GISBH turut terlibat dalam program khidmat masyarakat seperti Dapur Prihatin Bersama dan Jumaat Berkat. Menerusi program berkenaan, syarikat itu mengagihkan makanan dari rangkaian restorannya kepada golongan memerlukan.

“Kami sedia bekerja seiring kerajaan dan masyarakat untuk memperkenalkan projek dalam sektor seperti makanan dan minuman, pertanian, penternakan dan perikanan demi memenuhi keperluan rakyat dan negara,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.