RUU anti-lompat parti tak manfaat Ahli Parlimen bebas, kata Sng

RUU anti-lompat parti tak manfaat Ahli Parlimen bebas, kata Sng

Di bawah cadangan RUU itu, Ahli Parlimen bebas perlu mengosongkan kerusi mereka jika menyertai parti politik.

Larry Sng mahu undang-undang komprehensif untuk melindungi kepentingan Ahli Parlimen bebas.
KUALA LUMPUR:
Seorang Ahli Parlimen menggesa Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Wan Junaidi Tuanku Jaafar meminda Rang Undang-undang (RUU) anti-lompat parti untuk melindungi kepentingan wakil rakyat bebas.

Larry Sng (PBM-Julau) berkata, cadangan RUU itu tidak memanfaatkan Ahli Parlimen bebas kerana mereka perlu mengosongkan kerusi jika menyertai parti politik.

“Menteri (Wan Junaidi) perlu mengetahui realiti politik dan mempertimbangkan semua faktor melibatkan Ahli Parlimen bebas,” katanya di Dewan Rakyat ketika membahaskan RUU anti-lompat parti.

Sng mempersoalkan mengapa Ahli Parlimen bebas perlu mengosongkan kerusinya jika dia menyertai parti politik, tetapi Ahli Parlimen yang dipecat oleh partinya tidak perlu berbuat demikian.

RSN Rayer (PH-Jelutong) mencelah dengan berkata, Sng adalah Ahli Parlimen bebas sebelum menyertai PKR dan meninggalkan parti itu untuk menjadi wakil rakyat bebas semula sebelum menubuhkan Parti Bangsa Malaysia.

Sng membalas dengan berkata, undang-undang perlu berdasarkan tindakan seorang atau dua individu dan menggesa undang-undang lebih komprehensif digubal bagi melindungi Ahli Parlimen bebas.

RUU anti-lompat parti dibentangkan Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob untuk bacaan kedua di Dewan Rakyat hari ini dan sedang dibahaskan.

Ia disediakan oleh Jawatankuasa Pilihan Khas yang diketuai Wan Junaidi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.