
Katanya, pengerusi dan timbalan pengerusi tribunal itu sudah mula menjalankan tugas sejak semalam.
“Pada 16 Jun ini kita akan merasmikan Mahkamah Tribunal Antibuli, bukan saja dari segi mahkamah fizikal tetapi juga secara dalam talian,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Tahun 2025 dan Jasamu Dikenang Tahun 2026 Kluster Undang-undang dan Reformasi Institusi, Jabatan Perdana Menteri.
Azalina berkata, tribunal itu dikuatkuasakan berdasarkan akta berkaitan kewujudan tribunal antibuli diluluskan Parlimen.
Pada 3 Dis tahun lalu Rang Undang-undang (RUU) Antibuli 2025 diluluskan di Dewan Rakyat.
RUU itu adalah inisiatif perundangan komprehensif ke arah mewujudkan persekitaran pendidikan lebih selamat dan bebas budaya buli.
RUU diluluskan itu antara lain memperkenalkan mekanisme khusus untuk menerima aduan, mencegah serta menguruskan insiden buli di institusi pendidikan dan institusi lain yang ditetapkan.
Melalui RUU itu, sebuah tribunal antibuli akan ditubuhkan sebagai badan berbidang kuasa sivil bagi mendengar dan memutuskan aduan berkaitan kes buli, sekali gus menyediakan laluan penyelesaian lebih cepat, adil dan berstruktur.
Sebelum ini, Azalina berkata untuk permulaan, pelaksanaan RUU tersebut akan terpakai bagi golongan berusia 18 tahun ke bawah.
Azalina berkata, tribunal boleh mengeluarkan perintah terhadap responden, atau bagi responden kanak-kanak, ibu, bapa atau penjaga, membayar pampasan atau ganti rugi sehingga RM250,000 bagi sebarang kerugian atau kerosakan dialami mangsa akibat buli.
Pendekatan itu bersifat pencegahan kerana tanggungjawab terhadap tingkah laku anak-anak tidak boleh diletakkan sepenuhnya pada sekolah atau guru.
Selain itu, ia juga membolehkan tribunal mengarahkan ibu bapa atau penjaga hadir bersama responden kanak-kanak ke sesi kaunseling atau program sokongan keibubapaan disediakan agensi kerajaan.