Jangan sertai protes kenaikan harga barang, polis beri amaran

Jangan sertai protes kenaikan harga barang, polis beri amaran

Mereka yang menyertai protes itu esok akan diambil tindakan.

Ketua Polis Dang Wangi Noor Dellhan Yahaya, berkata tindakan akan diambil terhadap mereka yang terlibat dalam protes dianjurkan sebuah kumpulan, Turun Malaysia. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Polis memberi amaran kepada orang awam agar tidak menyertai protes kenaikan kos sara hidup, esok.

Ketua Polis Dang Wangi Noor Dellhan Yahaya, berkata ini kerana pihak berkuasa tidak menerima permohonan himpunan itu yang diperlukan mengikut Akta Perhimpunan Aman 2012.

“Orang awam dinasihatkan tidak menyertai himpunan berkenaan. Tindakan akan diambil terhadap mereka yang terlibat,” katanya dalam kenyataan.

Semalam, kumpulan yang menggelarkan diri mereka sebagai ‘Turun Malaysia’, berkata protes akan dilakukan berhubung peningkatan kos sara hidup, di luar pekarangan Sogo, di Kuala Lumpur.

Kumpulan berkenaan menyeru pelajar dan anak muda negara ini berhimpun di pusat beli belah itu, pada 2 petang, sebagai menyatakan suara mereka berhubung kenaikan harga barang.

Mereka juga menuntut menteri memotong gaji, pendekatan subsidi dikekalkan, bantuan tunai lebih besar kepada golongan memerlukan dan mahu kerajaan bertindak mengawal harga barang, selain memastikan bekalan makanan cukup bagi semua rakyat.

FMT sudah menghubungi pihak penganjur bagi mendapatkan maklum balas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.