Azalina, Maria dilantik pengerusi kaukus demokrasi pelbagai parti

Azalina, Maria dilantik pengerusi kaukus demokrasi pelbagai parti

Kaukus Parlimen Demokrasi Pelbagai Parti ditubuhkan terutama bagi menggalakkan dialog, penglibatan dan penyertaan rentas parti di Parlimen bagi isu reformasi institusi.

Bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri Azalina Othman Said dan bekas pengerusi Bersih Maria Chin Abdullah dilantik sebagai konvener bersama pada mesyuarat kaukus tersebut semalam.
PETALING JAYA:
Azalina Othman Said dan Maria Chin Abdullah dilantik sebagai pengerusi Kaukus Parlimen Demokrasi Pelbagai Parti yang baru ditubuhkan.

Azalina, bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Maria, bekas pengerusi Bersih, dilantik sebagai konvener bersama pada mesyuarat kaukus tersebut semalam.

Kaukus berkenaan ditubuhkan bagi menggalakkan dialog, penglibatan dan penyertaan rentas parti di Parlimen untuk isu-isu reformasi institusi, terutamanya Dewan Rakyat, serta memudahkan penyertaan orang awam dalam proses Parlimen.

“Kaukus ini adalah penting untuk memupuk dan memandu persaingan pelbagai parti yang sihat dan produktif bagi melahirkan udara demokrasi yang lebih baik di Malaysia,” kata mereka dalam kenyataan bersama hari ini.

Mereka berkata, Yang di-Pertua Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun telah dimaklumkan berkenaan penubuhan kaukus ini melalui surat rasmi bertarikh 18 Julai.

Sebagai permulaan, ahli-ahli kaukus tersebut bersetuju untuk mengkaji dan menyemak Peraturan-Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat bagi menambahbaik operasi Parlimen.

“(Ini) termasuk memperkenalkan urusan bukan kerajaan (‘backbenchers’ kerajaan dan ahli-ahli pembangkang) serta mempermudahkan Rang Undang-undang (RUU) Ahli Persendirian dan digitalisasi proses-proses Parlimen.

“(Selain itu) memperkasa jawatankuasa-jawatankuasa pilihan Parlimen, serta mengadakan perbincangan atau pendengaran bersama pihak berkepentingan seperti pakar-pakar, masyarakat sivil, media dan orang ramai berkenaan agenda pemerkasaan Parlimen dan pengukuhan demokrasi,” kata mereka.

Mereka turut menzahirkan harapan agar platform ini dimanfaatkan seoptimum mungkin oleh semua pihak dalam usaha memperkasakan peranan sebenar Ahli Parlimen selaku pembuat undang-undang dan dasar negara.

Selain Azalina dan Maria, kaukus tersebut turut dianggotai ahli-ahli Parlimen lain, iaitu Saifuddin Nasution Ismail (PKR-Kulim Bandar Baharu); Hasanuddin Mohd Yunus (Amanah-Hulu Langat); Dr Xavier Jayakumar (Bebas-Kuala Langat); Mohamed Hanipa Maidin (Amanah-Sepang); Loke Siew Fook (DAP-Seremban); Mohd Redzuan Md Yusof (Bersatu-Alor Gajah); Wong Shu Qi (DAP-Kluang); Madius Tangau (Upko-Tuaran); Ignatius Darell Leiking (Warisan-Penampang); Larry Sng (PBM-Julau); dan Baru Bian (PSB-Selangau).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.