Sieh Kok Chi meninggal dunia pada usia 83

Sieh Kok Chi meninggal dunia pada usia 83

Upacara memberi penghormatan terakhir akan diadakan selama dua hari, mulai esok, di Nirvana Centre Kuala Lumpur.

Sieh Kok Chi merupakan ‘Chef de Mission’ bagi kontinjen negara, pada Sukan SEA ke-20, di Brunei, pada 1999. (Gambar Twitter)
KUALA LUMPUR:
Bekas setiausaha agung Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Sieh Kok Chi telah meninggal dunia, pada Sabtu lalu, pada usia 83 tahun.

Menurut pengumuman dikongsikan adik-beradik mendiang, hari ini, upacara memberi penghormatan terakhir akan diadakan selama dua hari, mulai esok, di Nirvana Centre Kuala Lumpur.

Pengumuman itu menyebut upacara pengebumian akan berlangsung pada 10 pagi Jumaat ini dan jasad mendiang akan diarak ke Nirvana Crematorium Shah Alam untuk upacara pembakaran mayat.

Presiden MOM Mohamad Norza Zakaria menyifatkan pemergian Kok Chi sebagai satu kehilangan besar kepada dunia sukan tanah air dan pergerakan Olimpik, di Malaysia.

“Kami berdukacita dengan berita pemergian bekas setiausaha agung MOM Datuk Sieh Kok Chi. Bagi pihak MOM, kami ingin menzahirkan ucapan setinggi-tinggi takziah kepada ahli keluarga mendiang. Semoga roh mendiang bersemadi dengan tenang,” menurutnya dalam kenyataan.

Norza berkata, mendiang cukup dikenali ramai sebagai antara individu yang bertanggungjawab membawa kemakmuran dalam MOM dan beliau telah berada di sana dari tahun awalnya hinggalah badan induk ini berdiri teguh sehingga ke hari ini.

Beliau berkata, Kok Chi telah menawarkan khidmatnya secara sukarela kepada MOM sejak 1974 dan berkhidmat dalam pelbagai jawatankuasa serta pasukan petugas sebelum dipilih sebagai setiausaha kehormat pada 1992.

“Kok Chi meninggalkan legasi yang luar biasa seperti penubuhan struktur pentadbiran MOM, makan malam tahunan MOM dan malam anugerah, Anugerah Olympian of the Year, Dewan Kemasyhuran MOM dan Program Pemasaran dan Penajaan MOM.

“Mendiang juga memainkan peranan dalam Dana Pendidikan Atlet Tan Sri Alex Lee, Dana Amanah MOM, dana kategori B, dasar pembayaran balik untuk penyertaan dalam permainan pelbagai sukan serta banyak lagi,” katanya.

Menteri Belia dan Sukan Ahmad Faizal Azumu pula menyifatkan ketokohan mendiang sebagai tiada galang gantinya.

“Sepanjang hayat Datuk Sieh, beliau telah memainkan peranan yang sangat besar dalam pembangunan sukan negara. Beliau juga pernah menerima Anugerah Tokoh Sukan 2019/2020 bersempena Majlis Anugerah Sukan Negara pada Mac lepas,” katanya di laman Twitter.

Faizal juga berharap keluarga mendiang menerima ketentuan itu dengan penuh sabar.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.