
Pasangan nombor 4 dunia itu menjadi rakyat Malaysia pertama memenangi gelaran beregu campuran sejak kejohanan ini bermula pada 2010, selepas menewaskan pasangan nombor 10 dunia, Mathias Christiansen-Alexandra Boje dari Denmark.
Mereka menang 15-21, 21-17, 21-11 dalam masa 56 minit di Istora Senayan, Jakarta, sekaligus membawa pulang hadiah wang bernilai USD39,500 (RM158,256) dalam kejohanan World Tour Super 500 itu.
Kemenangan ini merupakan kemenangan ketiga mereka daripada empat pertemuan menentang pasangan Denmark tersebut dan gelaran kelima dalam karier mereka. Kemenangan terakhir mereka sebelum ini adalah di Australia Open pada November lalu.
Kejayaan di Jakarta juga hadir pada waktu yang tepat selepas mereka menerima kritikan dalam talian berikutan prestasi di Malaysia Open dan India Open awal bulan ini.
Mereka tewas pada peringkat suku akhir di Kuala Lumpur dan mengalami kekalahan pusingan pertama di New Delhi.