Sze Fei-Izzuddin rangkul gelaran ketiga negara di Indonesia Masters

Sze Fei-Izzuddin rangkul gelaran ketiga negara di Indonesia Masters

Pasangan beregu lelaki negara mengatasi cabaran sengit dan sorakan penyokong tuan rumah untuk tewaskan pasangan Indonesia di final.

Sze Fei-Nur Izzuddin
Ini merupakan gelaran pertama bagi Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani sejak kemenangan mereka di India Open pada Januari tahun lalu. (Gambar EPA Images)
PETALING JAYA:
Pasangan beregu lelaki negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani, menamatkan cabaran Malaysia dengan meraih gelaran ketiga bersejarah di Indonesia Masters hari ini.

Mereka menewaskan pasangan Indonesia yang sedang meningkat naik, Raymond Indra-Nikolaus Joaquin, 21-19, 21-13 dalam perlawanan berlangsung selama 36 minit di Istora Senayan, Jakarta.

Sze Fei-Izzuddin, yang berada di ranking ke-9 dunia, berjaya mengatasi suasana hangat dan sorakan penyokong tuan rumah untuk merangkul gelaran tersebut.

Kejayaan ini menandakan Malaysia menyapu bersih semua acara beregu dalam kejohanan itu, dan merupakan kali pertama negara meraih tiga gelaran dalam satu kejohanan World Tour.

Pasangan beregu campuran, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei, membuka tirai kemenangan dengan menjuarai acara mereka, diikuti gelaran kedua diraih oleh pasangan beregu wanita, Pearly Tan-M Thinaah, yang menerima walkover daripada lawan Jepun apabila seorang daripada mereka jatuh sakit.

Sze Fei-Izzuddin membawa pulang hadiah kemenangan bernilai USD39,500 (RM158,256) dalam kejohanan World Tour Super 500 tersebut.

Kejayaan ini juga membalas kekalahan mereka kepada pasangan Indonesia yang berada di ranking ke-26 pada separuh akhir Australia Open November lalu, iaitu pertemuan pertama mereka.

Prestasi ini turut menjadi penambah semangat kerana mereka hanya layak ke dua final tahun lalu — memenangi India Open pada Januari dan menjadi naib juara di Japan Open pada Julai.

Dalam dua kejohanan awal tahun ini, mereka tersingkir pada pusingan kedua di Malaysia dan India Open.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.