Seruan tolak ‘khemah besar’ Rafizi diterima baik kalangan Pemuda PKR

Seruan tolak ‘khemah besar’ Rafizi diterima baik kalangan Pemuda PKR

Ramai wakil Pemuda PKR di kongres menyahut seruan Timbalan Presiden Rafizi Ramli untuk menolak 'khemah besar' dengan parti pembangkang bukan Pakatan Harapan.

Ahli Pemuda PKR menghadiri kongres sayap itu di Shah Alam semalam.
SHAH ALAM:
Seruan menolak pendekatan ‘khemah besar’ yang diseru Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli nampaknya diterima baik dalam kalangan perwakilan Pemuda PKR pada kongres kali ini.

Rata-rata yang ditemui berkata lebih wajar sekiranya PKR memantapkan Pakatan Harapan, mendakwa kerjasama dengan parti luar rumit dan mengundang risiko khianat.

Mohd Fami Othman.

“Kerjasama dengan Pejuang, Warisan, dan Muda tak memberi nilai tambah kepada PH, lagi menyusahkan ada,” kata Mohd Fami Othman dari bahagian Bandar Tun Razak.

“Bila kerjasama (dengan parti selain PH) akan timbul banyak masalah termasuk soal pembahagian kerusi dan perebutan jawatan.”

Fami juga tidak percaya tiga parti itu akan sepenuh hati mengikut rancangan bersama kerana mereka cenderung menyokong perancangan bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad.

Muhamad Shahrezza Abdul Rahman.

“Kalau kita sesama rakan komponen dalam PH belum mantap dan kukuh lagi, ia akan merencatkan usaha memenangi PRU,” kata Muhamad Shahrezza Abdul Rahman dari Bahagian Petaling Jaya pula.

Sementara itu, Mohamad Shahrul Adnan dari Bahagian Klang berkata PKR menuju ke depan harus lebih cermat memilih rakan kerjasama.

Mohamad Shahrul Adnan.

“Jangan masuk lubang biawak dua kali. Kita mungkin boleh kerjasama dengan parti pembangkang lain tapi ada juga parti pembangkang yang kita tak boleh lagi percayai.”

Beliau berkata ahli mungkin sukar terima kerjasama dengan Bersatu, Pejuang, dan Parti Bangsa Malaysia yang turut dianggotai oleh penyokong bekas ketua wanita PKR, Zuraida Kamaruddin.

“Tapi parti pembangkang lain termasuk Sabah, Sarawak boleh kerjasama. Kita tak boleh nak tolak semua,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.