
Seorang pegawai kanan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata, surat berhubung keputusan itu akan dikeluarkan minggu depan.
Norazman Ayob, yang juga timbalan ketua setiausaha (industri) mengesahkan beliau sudah menemui wakil perniagaan minggu lalu mengenai aduan mereka, yang kebanyakannya mengenai pekerja asing.
Beliau berkata, surat akan dihantar minggu depan kepada persatuan industri dalam sektor pembuatan berhubung keputusan menangguhkan syarat nisbah 80:20 selama dua tahun.

Syarikat pembuatan mengadu permohonan untuk mengambil pekerja asing yang dihantar baru-baru ini ditangguhkan akibat keputusan itu, yang dipercayai dibuat kerajaan pada 2016.
Semalam, FMT melaporkan 56 persatuan perniagaan menemui Norazman berhubung masalah yang dihadapi industri tempatan dalam pengambilan pekerja asing.
Sesetengah syarikat berkata, hampir mustahil untuk mencari orang tempatan bekerja dengan syarikat pembuatan, apatah lagi mengekalkan mereka, khasnya dalam kilang yang tidak berhawa dingin.
Norazman berkata, senarai syarikat dan jumlah pekerja asing yang dikehendaki akan dihantar kepada kementerian dalam tempoh seminggu.
“Miti akan menghantar senarai itu kepada Kementerian Sumber Manusia untuk tindakan lanjut.”
Katanya, sebuah bengkel akan diadakan untuk mencari langkah penyelesaian jangka sederhana dan panjang bagi mendapatkan tenaga kerja sesuai untuk syarikat pembuatan.
“Langkah yang dicadangkan untuk meningkatkan tahap automasi, khasnya dalam kalangan PKS juga akan dibincangkan dalam bengkel itu.”