
“Awal tahun depan, banyak syarikat konsesi akan tamat kontrak masing-masing.
“Malah, sekarang ada kawasan yang sedang dipulihkan semula di bawah perjanjian baharu. Dalam syarat-syarat akan datang ini, kita mewajibkan pelaksanaan sistem pengauditan luar,” katanya menurut Berita Harian selepas merasmikan Konvensyen Penyelenggaraan Jalan 2025 serta Ekspo Teknologi Jalan dan Trafik My-Asean di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia.
Melalui sistem itu, beliau berkata, kerja penyelenggaraan syarikat konsesi akan diaudit dari semasa ke semasa oleh juruaudit luar, bukan hanya bergantung kepada audit dalaman Jabatan Kerja Raya (JKR) atau pihak syarikat seperti amalan dahulu.
“Kita mahu ada semakan bebas dari luar bagi memastikan semua kerja siap dalam keadaan terbaik. Pengauditan luar ini akan membantu menilai tahap kualiti dan ketelusan kerja dengan lebih objektif.”
Menurutnya, ia juga selaras usaha kementeriannya mewujudkan ekosistem penyelenggaraan jalan raya moden yang menekankan aspek akauntabiliti, keberkesanan dan tadbir urus lebih baik.
Sementara itu, Nanta berkata, kepentingan memfokuskan aspek penyelenggaraan jalan atau lebuh raya bertujuan memastikan infrastruktur negara sentiasa dalam keadaan terbaik serta berdaya tahan.
“Jalan raya juga mengalami proses penuaan. Jika aspek penyelenggaraan diabaikan, jaringan pengangkutan akan cepat rosak dan menjejaskan keselamatan pengguna.”