Sayang kalau roboh, bina baharu Stadium Shah Alam, kata Noh

Sayang kalau roboh, bina baharu Stadium Shah Alam, kata Noh

Ketua Umno Selangor berkata sesuatu yang mendukacitakan jika kerajaan negeri mengambil keputusan itu kerana pembangunan sedia ada sepatutnya diteruskan.

Ketua Umno Selangor Noh Omar berkata persoalan sama ada kerajaan negeri melakukan kerja penyelenggaraan ke atas Stadium Shah Alam yang dibina pada 1994 itu perlu dijawab Menteri Besar Amirudin Shari.
TANJUNG KARANG:
Stadium Shah Alam, yang menjadi ikon kepada pembangunan sukan negeri, tidak sepatutnya dirobohkan jika diselenggara dengan baik oleh kerajaan negeri, kata Ketua Umno Selangor Noh Omar.

Beliau berkata, sesuatu yang mendukacitakan jika kerajaan negeri mengambil keputusan itu kerana pembangunan sedia ada sepatutnya diteruskan kesinambungannya walaupun diterajui kerajaan dan parti berbeza.

Noh berkata, sebagai anak Selangor, Stadium Shah Alam mempunyai nilai sentimental kepada dirinya dan rakyat negeri itu.

“Kalau nak diruntuhkan, saya rasa dukacita kerana sepatutnya stadium terbesar dan terhebat di negeri Selangor itu diteruskan (tidak diroboh) dan penyelenggaraan perlu dibuat.

“Sepatutnya bila sudah tiga penggal memerintah, stadium itu diselenggara dan dijaga sebagaimana yang kita (kerajaan Barisan Nasional) buat dahulu.

“Ia seperti rumah, kalau dibiarkan 10 tahun baru nak baiki, memang ia kena runtuh…sayang kalau nak roboh dan bina baharu,” katanya kepada pemberita semasa program korban perdana Parlimen Tanjung Karang.

Noh, yang juga menteri pembangunan usahawan dan koperasi, berkata persoalan sama ada kerajaan negeri melakukan kerja penyelenggaraan ke atas stadium yang dibina pada 1994 itu perlu dijawab oleh Menteri Besar Amirudin Shari.

Sebelum ini, media melaporkan Amirudin tidak menafikan terdapat cadangan untuk merobohkan Stadium Shah Alam dan pihaknya akan menjelaskan secara terperinci mengenai cadangan pembangunan terbaharu stadium itu pada 16 Julai ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.