
Suspek berusia 26 tahun yang juga penagih dadah bertindak demikian kerana disyaki dendam sebelum ditahan 10.10 pagi tadi, selepas menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam.
Ketua Polis Shah Alam Mohd Iqbal Ibrahim berkata, polis menerima laporan pada 6.15 petang semalam daripada suami mangsa berusia 42 tahun selepas dimaklumkan guru taska berkenaan.
Katanya, hasil siasatan mendapati, suspek menolak mangsa berusia 33 tahun ke tempat duduk penumpang dan merampas kenderaan wanita itu.
“Ketika kejadian, anak mangsa berusia enam tahun juga berada dalam kenderaan tersebut dan siasatan mendapati, suspek berada bawah pengaruh dadah ketika itu.
“Siasatan mendapati, motif kejadian disebabkan suspek masih menyayangi mangsa yang merupakan bekas kekasihnya,” katanya menurut laporan Kosmo.
Katanya lagi, tiada kecederaan dialami mangsa sepanjang tempoh penculikan tersebut.
“Ujian air kencing mendapati suspek positif dadah. Permohonan reman akan dilakukan esok dan kes disiasat mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan,” tegasnya.
Terdahulu, insiden penculikan itu tular menerusi beberapa keping gambar mangsa dengan meminta orang ramai mengesan keberadaan dua beranak itu.