
Hakim Nu’aman Mahmud Zuhudi dalam penghakimannya berkata, pihak pendakwaan gagal menimbulkan kes prima facie terhadap Syafeeq Shukri, 37, selepas mahkamah meneliti keterangan saksi.
“Oleh yang demikian, tertuduh dilepaskan dan dibebaskan daripada pertuduhan tanpa dipanggil membela diri, wang jaminan (RM20,000) dikembalikan,” katanya menurut Bernama.
Pada 23 Mei 2024, Syafeeq mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu berkaitan perkhidmatan menyediakan minuman untuk kegunaan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail di Hospital Tuanku Fauziah, Kangar.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa menyediakan dokumen pesanan bekalan perkhidmatan kerajaan Perlis berjumlah RM19,505.10 bertarikh 14 Feb 2024 yang mengandungi butir matan palsu.
Dia didakwa menyerahkan dokumen itu atas nama Mohd Farid Abdul Hamid kepada pembantu tadbir di bahagian pentadbiran daerah pejabat setiausaha kerajaan negeri pada 19 Feb 2024.
Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, yang membawa hukuman penjara hingga 20 tahun dan denda minimum RM10,000, jika sabit kesalahan.
Shukri dilantik menteri besar Perlis dari November 2022 hingga Disember tahun lalu.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Ahmad Fariz Abdul Hamid yang mengendalikan pendakwaan kes itu berkata, 11 saksi pendakwaan dikemukakan sepanjang tempoh dua tahun perbicaraan.
Katanya, pihak pendakwaan akan mengemukakan notis rayuan kepada Mahkamah Tinggi Kangar dalam tempoh 14 hari untuk semakan keputusan hari ini.