105 pengemis termasuk kanak-kanak Palauh ditahan di Kota Kinabalu

105 pengemis termasuk kanak-kanak Palauh ditahan di Kota Kinabalu

Semua yang ditahan kemudian dibawa ke Semporna menggunakan bas sewa khas dengan diiring kawal pihak berkuasa.

Semua individu yang ditahan dikatakan aktif menjalankan aktiviti mengemis di sekitar Kota Kinabalu.
KOTA KINABALU:
Seramai 105 pengemis termasuk kanak-kanak yang tidak memiliki kewarganegaraan ditahan dalam operasi bersepadu yang dijalankan di pusat bandar raya, semalam.

Menurut kenyataan Majlis Keselamatan Negara (MKN), semua yang ditahan dikenal pasti daripada suku kaum Palauh atau Bajau Laut

Katanya, semua yang ditahan dibawa ke Semporna menggunakan bas sewa khas dengan diiring kawal oleh MKN, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dan Jabatan Perkhidmatan Dan Kebajikan Awam (JPKA).

“Sebaik tiba di Semporna, semua yang ditahan dilepaskan ke lokasi yang ditetapkan dengan menggunakan bot khas yang diselaraskan pegawai daerah Semporna.

“Operasi ini berjaya mencapai sasaran operasi tanpa sebarang insiden tidak diingini berlaku,” katanya kenyataan itu.

Kenyataan itu berkata, kerajaan menerusi agensi penguatkuasa akan terus komited dalam melaksanakan operasi seperti ini.

“Ia adalah salah satu usaha melindungi masyarakat daripada masalah yang dicetuskan oleh kebanjiran kanak-kanak dan pengemis jalanan yang sekian lama mencemarkan pemandangan di sekitar pusat bandar raya ini.

“MKN turut menghargai sebarang maklumat dan bantuan yang diberikan oleh orang awam untuk menjejaki dan menahan kumpulan kanak-kanak serta pengemis jalan dalam operasi ini,” katanya.

Selain MKN, DBKK dan JPKA, operasi itu turut disertai polis , Jabatan Imigresen, Angkatan Pertahanan Awam, Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, Pejabat Hal Ehwal Dalam Negeri dan Penyelidikan serta Jabatan Ketua Menteri Sabah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.