
Beliau turut menyatakan kebimbangannya apabila melihat kepada jumlah individu bankrap ketika ini, terutama melibatkan golongan muda.
“Kerajaan pernah menaikkan ‘threshold’ (nilai ambang) sewaktu pandemik dulu untuk menangguhkan undang-undang yang melibatkan kebankrapan dan threshold telah dikaji semula.
“Saya akan berbincang dengan menteri undang-undang (Wan Junaidi) untuk melihat akta undang-undang tersebut,” katanya ketika berucap dalam majlis penutup Program BN Youth Fair, di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).
Dalam pada itu, Ismail berkata beliau juga akan berjumpa dengan Gabenor Bank Negara (BNM), Nor Shamsiah Mohd Yunus untuk melihat dari tindakan segi undang-undang jika boleh ditangguhkan lagi atau tidak.
“Percayalah agenda anak-anak muda menjadi keutamaan kerajaan,” katanya.
Pada 23 Mei lalu, media melaporkan, kegagalan melunaskan hutang pinjaman yang tinggi akibat tidak mempunyai baki simpanan mencukupi mengakibatkan seramai 287,411 individu di negara ini diisytiharkan bankrap setakat bulan Mac tahun ini.
Lebih membimbangkan apabila mereka yang disenaraikan sebagai muflis terdiri daripada individu muda yang masih bekerja.
Pegawai Insolvensi Utama Bahagian Kebankrapan Jabatan Insolvensi Malaysia (MdI), Zarina Alias berkata, berdasarkan statistik MdI, Selangor mencatatkan kes tertinggi iaitu seramai 71,659 individu diikuti Kuala Lumpur dengan 45,630 individu.