‘Perang dah bermula’, pengguguran Tajuddin amaran kepada golongan pro-PM, kata penganalisis

‘Perang dah bermula’, pengguguran Tajuddin amaran kepada golongan pro-PM, kata penganalisis

Ahmad Fauzi Abdul Hamid daripada USM berkata, ia dimaksudkan sebagai mesej yang jelas mengenai 'siapa yang membuat keputusan dalam Umno'.

Ahli Parlimen Pasir Salak Tajuddin Abdul Rahman (kiri) dipercayai berada dalam kem Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.
PETALING JAYA:
Pengguguran Tajuddin Abdul Rahman daripada Majlis Kerja Tertinggi Umno menjadi “amaran” kepada Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dan mereka yang sealiran dengannya, kata seorang penganalisis.

Ahmad Fauzi Abdul Hamid daripada Universiti Sains Malaysia (USM) berkata, langkah itu dimaksudkan sebagai mesej yang jelas mengenai “siapa yang membuat keputusan dalam Umno”.

Tajuddin dikatakan pro-Ismail, yang menurut Fauzi hakikat itu menjadi lebih jelas susulan pelantikannya sebagai duta ke Indonesia.

“Jika pilihan raya umum ke-15 (PRU15) terus ditangguhkan, mereka berisiko digugurkan daripada senarai calon, yang memerlukan kelulusan Zahid,” kata Fauzi kepada FMT, merujuk kepada Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Fauzi Abdul Hamid.

Zahid sebelum ini menggesa PRU15 diadakan secepat mungkin.

Fauzi berkata, pengguguran Tajuddin menyokong spekulasi bahawa wujud “perpecahan serius” dalam kepimpinan Umno.

Satu lagi sumber yang mengesahkan pengguguran Tajuddin juga bersetuju dengan Fauzi bahawa ia adalah “tembakan amaran” yang dimaksudkan untuk mereka yang sealiran dengan Ismail dalam MKT.

“Perang telah bermula,” katanya.

Pengguguran Tajuddin daripada MKT terbongkar menerusi surat tular di media sosial yang dilihat FMT.

“Presiden melalui surat ini menamatkan pelantikan Datuk Seri (Tajuddin) sebagai ahli MKT Umno,” menurut surat bertarikh 21 Jun itu.

Oh Ei Sun daripada Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura berkata, ini akan memberi gambaran seolah-olah Tajuddin tidak disenangi oleh kumpulan arus perdana dalam Umno, maka keahliannya dalam MKT “ditamatkan”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.