
Dalam pembelaan difailkan minggu lalu oleh firma guaman Kamarul Hisham & Hasnal Rezua, Tajuddin berkata sebarang rujukan terhadap Lim pada tahun 2022 dibuat dalam konteks sebagai bekas penjawat awam dan ahli Pakatan Harapan (PH), gabungan turut disertai DAP.
“Rujukan itu tidak boleh dianggap sebagai memfitnah plaintif (Lim),” menurut dokumen mahkamah.
Tajuddin berhujah kenyataan yang dijadikan asas saman oleh Lim telah ditafsirkan secara melampau, sedangkan ia juga boleh difahami dalam maksud lebih ringan.
Beliau menegaskan kenyataannya adalah komen adil kerana ia dibuat berkaitan isu kepentingan awam.
Bekas Ahli Parlimen Pasir Salak itu berkata kenyataannya juga dilindungi di bawah keistimewaan berkelayakan (qualified privilege) kerana beliau mempunyai tanggungjawab untuk memberi penerangan kepada rakyat mengenai isu politik menjelang pilihan raya dan membantu pengundi memahami sesuatu isu.
Dalam saman difailkan Ogos lalu, Lim menuntut Tajuddin menarik balik kenyataan berkenaan dan membuat permohonan maaf secara terbuka di akaun media sosialnya serta di akhbar dan portal berita dalam talian.
Bekas ketua menteri Pulau Pinang itu juga menuntut ganti rugi dan perintah injunksi supaya Tajuddin tidak mengulangi kenyataan yang dianggap memfitnah dirinya.
Dalam penyataan tuntutannya yang difailkan oleh firma guaman Guok Partnership di Mahkamah Tinggi, Lim berkata pada 18 Oktober 2022, Tajuddin telah menyertai satu forum anjuran Sinar Harian yang membincangkan PRU15.
Menurut Lim, yang kini penasihat DAP, Tajuddin menuduhnya mengetepikan orang Melayu semasa menjadi menteri kewangan, dan mendakwa beliau telah ‘menjadikan kementerian itu seperti tokong Cina’.
Kenyataan itu, katanya, telah tersebar luas di media sosial, portal berita dalam talian, serta media arus perdana.
Lim mendakwa kenyataan itu dibuat secara terancang, dengan tujuan menimbulkan persepsi bahawa beliau tidak layak memegang jawatan awam dan telah menyalahgunakan kuasa, termasuk menyingkirkan pegawai Melayu dari kementerian ketika pentadbiran Pakatan Harapan (PH) antara Mei 2018 hingga Feb 2020.
Beliau menambah kenyataan Tajuddin juga menimbulkan gambaran palsu seolah-olah beliau telah menghias atau menukar Kementerian Kewangan menjadi tokong Cina.