Penganalisis ragui ramalan PRU15 Rafizi akan jadi kenyataan

Penganalisis ragui ramalan PRU15 Rafizi akan jadi kenyataan

Beberapa penganalisis berkata, bakal timbalan presiden PKR itu mungkin terlalu yakin dengan PH boleh mendapat peratusan undi daripada kumpulan yang disenaraikannya.

Penganalisis mengingatkan Rafizi Ramli terhadap prestasi hambar PH ketika ia masih berkuasa dan dalam beberapa PRN baru-baru ini.
PETALING JAYA:
Beberapa penganalisis mempersoalkan sama ada Rafizi Ramli mengambil kira semua faktor utama secara terperinci sebelum membuat ramalan bahawa Pakatan Harapan (PH) boleh memenangi pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Mereka memberitahu FMT, bakal timbalan presiden PKR itu mungkin terlalu yakin dengan PH boleh mendapat peratusan undi daripada kumpulan yang disenaraikannya.

Isnin lalu, Rafizi dilaporkan berkata, PH boleh memenangi PRU15, jika ia mampu meraih undi daripada 70% pengundi tegarnya, 30% pengundi kali pertama dan 5% pengundi atas pagar yang beralih sokongan selepas PRU14.

Felo kanan Majlis Profesor Negara, Jeniri Amir percaya Rafizi tidak mengambil kira keadaan yang berlaku sejak beberapa tahun lalu.

Jeniri Amir.

Katanya, prestasi PH sepanjang 22 bulan berkuasa dan insiden Langkah Sheraton meninggalkan tanggapan buruk kepada pengundi.

“Rafizi boleh tampil dengan angka itu, tetapi saya rasa keseluruhan landskap sudah berubah seperti yang terbukti dalam tiga pilihan raya negeri (PRN) lalu.

“Beliau tidak mengambil kira semua perkara yang berlaku dalam PH dan reaksi pengundi serta orang ramai terhadap PH, khasnya selepas ia gagal menunaikan janji serta manifestonya.”

Barisan Nasional (BN) mencapai kemenangan besar dalam PRN Melaka dan Johor dengan menewaskan PH dan Perikatan Nasional (PN). Di Sarawak, PH mengalami kekalahan besar, dengan hanya memenangi dua daripada 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Ahmad Fauzi Abdul Hamid.

Ahmad Fauzi Abdul Hamid dari Universiti Sains Malaysia berkata, corak pengundian di Johor dan Melaka adalah isyarat jelas bahawa PKR serta PH belum berjaya menguasai undi Melayu.

Katanya, selagi orang Melayu tidak dapat melihat mengapa dan bagaimana kerajaan PH boleh memanfaatkan mereka, gabungan itu tidak akan mendapat sokongan kumpulan itu.

Beliau berkata, undi yang disasarkan Rafizi boleh dicapai di kawasan pengundi campuran di bandar, bukannya di kawasan orang Melayu.

Oh Ei Sun.

“Saya tidak rasa ia cukup untuk mengubah kedudukan PH di seluruh negara.”

Oh Ei Sun dari Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura turut meragui kemampuan PH untuk mencapai jumlah sokongan yang diharapkan Rafizi berdasarkan keputusan PRN Johor, Melaka dan Sarawak.

Katanya, keinginan mencapai peratusan keluar mengundi itu dan merealisasikannya adalah dua perkara berbeza.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.