
“Tidak dinafikan rakyat Indonesia dan keluarga mangsa terkejut tetapi kami menghormati keputusan akhir,” katanya.
Hermono berkata, satu nyawa telah hilang dan tiada siapa yang akan bertanggungjawab atas kematian itu.
Katanya, “rakyat biasa” di negaranya termasuk ahli keluarga mangsa mungkin tidak memahami lunas undang-undang di sini kerana mereka akan melihat kematian itu daripada “perspektif kemanusiaan”.
“Sukar untuk diterima kerana ia adalah kematian yang tragis,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri prosiding Mahkamah Persekutuan, bersama Konsul Jeneral Indonesia di Pulau Pinang Bambang Suharto dan pegawai kedutaan.
Panel tiga hakim dipengerusikan hakim Vernon Ong berkata, hakim perbicaraan Akhtar Tahir telah menggunakan budi bicaranya dalam memberikan pembebasan kepada S Ambika, 62.
Ambika didakwa membunuh Adelina Lisao, 28, di rumahnya di Medan Kota Permai 2, Bukit Mertajam, pada 10 Feb 2018.
Mahkamah Tinggi di George Town membebaskan Ambika pada 18 April 2019, walaupun pihak pendakwaan hanya memohon untuk dia dilepas tanpa dibebaskan (DNAA).
Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan pembebasan Ambika tahun lalu.
Kumpulan hak asasi manusia, Tenaganita mempersoalkan keputusan Jabatan Peguam Negara yang pada mulanya menggugurkan pertuduhan membunuh.
Kira-kira 30,000 orang telah menandatangani petisyen untuk mendapatkan jawapan daripada pihak pendakwaan.
Hermono berkata, perjalanan undang-undang yang panjang untuk mencari keadilan untuk Lisao belum berakhir.
“Kami sedang melihat kemungkinan lain seperti memfailkan saman sivil. Kami akan merujuk perkara ini kepada pihak atasan di Jakarta dan peguam kami,” katanya selain menambah bahawa seseorang mesti bertanggungjawab atas kematian pembantu rumah itu.
Beliau berkata, pihak kedutaan juga akan sentiasa berwaspada terhadap insiden penderaan pembantu rumah di sini, yang menurutnya masih berlaku.
“Baru semalam, ada kes di Damansara,” katanya.