
Ahli korporat, R Jeyendran yang bergiat aktif dalam aktiviti kemasyarakatan sejak tiga tahun lalu, lebih menumpukan perhatian kepada pengurusan abu mayat orang India secara percuma.
Bagaimanapun, hatinya mula terbuka untuk menyumbang dalam pengurusan jenazah kaum lain selepas tersentuh dengan kesungguhan SSK menyediakan perkhidmatan percuma itu.
“Sejak tiga tahun lepas, saya uruskan abu mayat orang India yang sudah mati untuk dibawa ke laut. Saya buat perkhidmatan ini secara percuma dengan menggunakan bot saya.
“Namun bila jumpa dengan wakil NGO ini tiga bulan lepas, saya tersentuh dan kagum, walaupun dengan dana yang amat terhad, mereka mampu beri perkhidmatan percuma kepada keluarga yang memerlukan di seluruh Semenanjung.
“Dari situ, saya tergerak hati untuk menyerahkan kenderaan mewah peribadi (Vellfire) untuk kegunaan keluarga jenazah dan sukarelawan SSK agar mereka berasa sedikit selesa, jika perlu bergerak jarak jauh,” katanya ketika ditemui FMT.

Difahamkan, majoriti sukarelawan SSK tidak bekerja tetap untuk memberi perhatian kepada pengurusan jenazah yang bermula ketika pandemik Covid-19 pada Oktober 2020.
Pengurusan jenazah yang kosnya mencecah RM1,000 dan ke atas, bergantung kepada lokasi tanah perkuburan dan hospital, disediakan secara percuma menggunakan sumbangan individu dan beberapa pihak.
Mengulas lanjut, Jeyendran yang fasih berbahasa Melayu berkata, beliau dibesarkan dalam persekitaran majoriti orang Melayu, menjadikan jiwanya sebati dengan cara hidup masyarakat itu.
“Saya dibesarkan di Klang dalam keadaan keluarga yang bukan senang. Bapa saya hanya seorang pembantu pemandu kren di Pelabuhan Klang dan kami hanya tinggal di kuarters.

“Umur ayah saya juga tak panjang, dia mati pada usia amat muda 24 tahun. Masa dia pergi, pakcik saya yang tolong uruskan mayat ayah. Kami memang tiada duit nak urus mayat ayah masa tu. Bila dikenang, memang sangat sedih,” kongsinya.
Mengimbau kehidupan lampau, Jeyendran yang mengusahakan syarikat penghantaran membabitkan produk minyak sawit sejak 19 tahun lalu, bertekad membantu sesiapa sahaja yang memerlukan.
“Sebab tu bila ada rezeki, saya tak kira bangsa akan tolong, saya buat ikhlas daripada hati saya. Selagi hidup, selagi bernyawa, ada rezeki lebih, saya sentiasa akan berbakti.”
Ketika sistem penjagaan kesihatan negara bergelut dengan kemuncak kes Covid-19 tahun lalu, beliau turut menyumbang enam kontena berharga RM20,000 seunit kepada hospital awam di seluruh negara untuk menyimpan jenazah atau mayat pesakit yang meninggal dunia akibat virus itu.