UiTM nafi paksa pelajar bukan Muslim ikuti kem agama Islam

UiTM nafi paksa pelajar bukan Muslim ikuti kem agama Islam

Pihak universiti menjelaskan pelajar bukan Islam menghadiri ceramah etika sosial sementara pelajar Islam mengikuti ceramah pengurusan jenazah.

uitm
UiTM akan mengkaji semula penganjuran program yang dilaksanakan kelak, susulan dakwaan pelajar bukan Islam dipaksa menghadiri program berunsur keagamaan Islam.
PETALING JAYA:
Universiti Teknologi Mara (UiTM) menafikan memaksa pelajar bukan Islam menghadiri acara keagamaan Islam menerusi ‘Kem Jati Diri dan Kerohanian’ diadakan pada 11 Jan lalu.

Dalam kenyataan, UiTM memaklumkan program itu adalah sebahagian silibus kursus kokurikulum Kesatria Negara dan Kesatria Kembara dirancang untuk membentuk mahasiswa seimbang dari segi sahsiah, intelek, dan spiritual.

Katanya, program itu merangkumi elemen seperti disiplin, patriotisme, pertolongan cemas, rekreasi, dan nilai kerohanian bagi pelajar Islam, manakala pelajar bukan Islam didedahkan kepada ceramah yang sesuai dengan keperluan mereka.

“Mahasiswa Muslim mengikuti ceramah pengurusan jenazah di ruang utama Masjid Al-Wathiqu Billah Tuanku Mizan Zainal Abidin di UiTM Shah Alam, manakala yang bukan Muslim pula menghadiri ceramah etika sosial yang berlangsung selama dua jam di Dewan Muktamar,” katanya.

“Ceramah etika sosial itu bertujuan memberi pemahaman tentang nilai etika dalam kehidupan bermasyarakat, termasuk di rumah, tempat kerja dan ruang awam. Selepas sesi ceramah tamat, mahasiswa bukan Muslim menikmati minum petang sebelum dibenarkan pulang.”

Terdahulu, tular poster mengenai acara dua hari itu yang menghendaki semua pelajar bukan Islam dan 10 pelajar Islam dari setiap kelas di UiTM Shah Alam menghadiri Kem Jati Diri dan Kerohanian siri ke-20 di sebuah masjid.

Menurut UiTM lagi, penggunaan lokasi berhampiran seperti masjid dan Dewan Muktamar untuk mempermudah pengurusan, menjimatkan masa dan sumber logistik, serta memastikan peserta dapat mengikuti kegiatan secara teratur tanpa gangguan.

Dalam pada itu, UiTM memaklumkan, pihaknya akan mengkaji semula penganjuran program yang dilaksanakan kelak, membabitkan penelitian dalam penyampaian maklumat dan bahan promosi bagi mengelakkan salah faham, serta memastikan pelaksanaannya lebih efisien pada masa akan datang.

“UiTM menegaskan bahawa program Kem Jati Diri dan Kerohanian dijalankan dengan menghormati sensitiviti agama dan budaya semua peserta,” katanya.

“UiTM kekal komited memastikan aktiviti kokurikulum memenuhi prinsip inklusiviti dan profesionalisme, serta menyumbang kepada pembangunan mahasiswa yang berdaya saing dan berintegriti tinggi.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.