Hutang along, 2 beradik mengaku curi van jenazah

Hutang along, 2 beradik mengaku curi van jenazah

Peguam mewakili dua tertuduh berhujah anak guam dijanjikan RM30,000 jika mencuri van jenazah itu.

mahkamah klang
Mereka dikenakan hukuman enam bulan penjara oleh Mahkamah Majistret Klang.
PETALING JAYA:
Dua beradik dipenjara enam bulan oleh Mahkamah Majistret Klang kerana menyimpan van jenazah dicuri daripada sebuah masjid, Sabtu lalu.

Majistret Amirul Asyraf Abd Rashid menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Abdul Hamid Rizan, 27, dan adiknya, Faizal Rizan, 23, mengaku bersalah.

Mengikut pertuduhan pilihan, dua lelaki itu didakwa secara bersama menyimpan harta curi iaitu sebuah van jenazah jenis Toyota Hiace bernilai RM30,000 milik sebuah masjid di Kampung Telok Gong, dekat Pelabuhan Klang yang dilaporkan hilang.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di surau sebuah pangsapuri di Iskandar Puteri, Johor sekitar 1.05 pagi, 25 Jan, lapor Harian Metro.

Justeru, kedua-dua didakwa mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama seksyen 34 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara antara enam bulan sehingga lima tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, pengadu seorang lelaki berusia 32 tahun membuat laporan polis berhubung kecurian van jenazah di masjid terbabit pada 2.30 petang, 17 Jan sehingga 7.45 petang, 21 Jan dengan anggaran kerugian RM30,000.

Pada Ahad lalu sekitar 1.05 pagi, seorang saksi menahan kedua-dua tertuduh di hadapan sebuah surau di Johor bersama van dengan nombor pendaftaran palsu.

Semakan mendapati nombor pendaftaran asal kenderaan yang dinaiki kedua-dua tertuduh adalah milik van jenazah yang dilaporkan hilang di masjid dekat Kampung Telok Gong di Pelabuhan Klang.

Terdahulu, peguam Mark Jeyakumar yang mewakili kedua-dua tertuduh dalam rayuannya memohon anak guamnya melakukan kesalahan itu berikutan terdesak apabila sekumpulan individu peminjam wang tidak berlesen kerap mengganggu mereka.

Katanya, kedua-dua tertuduh melakukan pinjaman kerana terdesak menanggung isteri dan anak masing-masing, selain dua lagi adik mereka berusia 17 dan 14 tahun.

“Mereka dijanjikan mendapat bayaran berjumlah RM30,000 dengan melakukan kesalahan mencuri itu. Peminjam wang tidak berlesen ini kerap mengganggu empat beradik ini. Mereka terdesak,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Pendakwa Mohamad Rabiul Awal Ishak memohon supaya kedua-dua tertuduh dijatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran.

“Mohon mahkamah mengambil kira harta curi itu adalah kenderaan yang digunakan bagi kemudahan awam untuk pengurusan jenazah.

“Selain itu mohon barang kes (van jenazah) diserahkan semula kepada pemilik asal,” katanya.

Selepas menjatuhkan hukuman itu, majistret mengarahkan barang kes dikembalikan kepada pemilik asal.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.