
Pada 8 April lepas, Ng didapati bersalah oleh mahkamah di AS kerana melakukan konspirasi menyelewengkan ratusan juta dolar daripada syarikat pelaburan 1MDB, bagaimanapun hukuman terhadapnya masih belum diputuskan.
Timbalan Pendakwa Raya Zaki Asyraf Zubir memaklumkan kepada mahkamah bahawa perbicaraan kes jenayah yang dihadapi Ng di mahkamah AS telah selesai dan proses hukuman akan dijalankan pada 13 Sept.
“Untuk makluman mahkamah, Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DoJ) memohon penyerahan sementara tertuduh ke negara itu sehingga akhir Ogos ini. Saya pasti mereka (DoJ) akan memohon lanjutan tempoh penyerahan sementara memandangkan proses hukuman pada September ini.
“Oleh itu, saya mohon tarikh sebutan kes pada 18 atau 19 Okt ini untuk memaklumkan kepada mahkamah tentang status terkini kes tertuduh (Ng) di AS,” katanya pada pengurusan kes hari ini.
Peguam Tan Hock Chuan yang mewakili Ng mengesahkan mengenai tarikh hukuman itu dan memaklumkan bahawa anak guamnya telah memfailkan rayuan terhadap keputusan juri di mahkamah di AS.
“Keputusan dicapai pada 8 April 2022 dan hakim di New York akan tetapkan hukuman pada 13 Sept 2022. Saya setuju dengan permohonan pendakwaan untuk tarikh sebutan itu bagi memaklumkan perkembangan kes (di AS),” katanya.
Hakim Muhammad Jamil Hussin menetapkan pengurusan kes pada 19 Okt ini untuk pihak pendakwaan dan pembelaan memaklumkan status terkini kes yang dihadapi Ng di AS.
Pada 19 Dis 2018, Ng mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan bersubahat dengan Goldman Sachs berhubung penjualan bon 1MDB bernilai ASD6.5 bilion dengan menggugurkan fakta material dan membuat kenyataan palsu.
Dia didakwa melakukan semua kesalahan itu di pejabat 1MDB, Tingkat 8, Menara IMC, Jalan Sultan Ismail di sini antara 19 Mac 2012 dan 11 Nov 2013.
Pada 4 Sept 2021, pertuduhan terhadap Goldman Sachs International Ltd dan dua entitinya di Asia, iaitu Goldman Sachs (Asia) LLC dan Goldman Sachs (Singapura) digugurkan selepas hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan membenarkan permohonan pendakwaan untuk menarik balik pertuduhan berhubung penjualan bon 1MDB bernilai ASD6.5 bilion.