
Ahli Parlimen Papar, Ahmad Hassan berkata, ia adalah susulan kenyataan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Azam Baki yang menyangkal dakwaan bahawa kes itu “bakal” digugurkan AGC.
“Isu salah guna kuasa dan salah tadbir urus khususnya membabitkan sebuah agensi kerajaan adalah satu kesalahan besar kerana ia melibatkan wang serta kepentingan rakyat.
“Sehingga hari ini, belum ada tindakan pendakwaan, walaupun SPRM telah menyerahkan kertas siasatan penuh kepada AGC April lalu,” katanya dalam kenyataan.

Pada 1 Mac lalu, Azam dilaporkan berkata, siasatan berkaitan dakwaan salah guna kuasa dan salah urus Mara Corp selesai sepenuhnya dan agensi itu dalam peringkat perbincangan dengan AGC untuk langkah seterusnya.
Ini selepas SPRM memanggil lima pegawai Mara yang dikaitkan dengan dakwaan integriti dan salah guna kuasa membabitkan Mara Corp. Kelima-limanya kemudian membuat laporan polis menafikan pembabitan mereka dalam isu berkenaan.
Pada 31 Mac pula, Azam memaklumkan pihaknya yakin tiga pegawai Mara Corp yang disiasat agensi anti-rasuah itu bakal diheret ke mahkamah dalam masa terdekat.
Namun Isnin lalu, portal berita MalaysiaGazette melaporkan ACG “bakal” menggugurkan kes terhadap tiga pegawai Mara Corp.
Semalam, Azam dilaporkan berkata, SPRM sudah mencadangkan beberapa nama kepada AGC untuk didakwa, tetapi tiada makluman daripada AGC berhubung pengguguran tiga individu yang disiasat dalam kes itu setakat ini.
Ahmad yang merupakan ketua penerangan Warisan berkata, kerajaan harus telus dan tegas dalam menangani isu integriti serta salah guna kedudukan tanpa “memilih bulu” kerana ia membabitkan kepentingan rakyat, khasnya Bumiputera.
Katanya, rakyat akan menjadi mangsa jika dakwaan dalam laporan portal berita itu benar.
“Situasi ini juga sudah tentu akan menakutkan lagi pelabur luar dan dalam, yang sememangnya sudah muak dengan ketidakstabilan pentadbiran kita, untuk melabur di negara ini.”