Ahli Parlimen gusar kekurangan ubat di Sarawak

Ahli Parlimen gusar kekurangan ubat di Sarawak

Dr Kelvin Yii mengulas berhubung laporan kehabisan ubat di Miri untuk merawat kanak-kanak menghidap asma, demam, batuk dan selesema.

Ahli Parlimen Bandar Kuching, Kelvin Yii berkata, KKM perlu menjalankan audit stok farmaseutikal di kemudahan kesihatan awam dan swasta.
PETALING JAYA:
Seorang ahli Parlimen DAP menggesa Kementerian Kesihatan (KKM) menyelesaikan masalah kekurangan ubat-ubatan di kemudahan penjagaan kesihatan di Sarawak termasuk negeri lain.

Ahli Parlimen Bandar Kuching Dr Kelvin Yii, berkata demikian sebagai respons kepada laporan berita di mana pegawai perubatan di Miri, Sarawak, kehabisan ubat untuk merawat kanak-kanak menghidap asma, demam, batuk dan selesema.

“Ini adalah masalah penjagaan kesihatan yang serius, atau mungkin sudah menjadi krisis. Jika tidak ditangani segera, pesakit akan terus menderita,” katanya dalam kenyataan.

“Dalam senario terburuk ini, ia mungkin membawa kepada perkara tidak diingini kerana dalam beberapa keadaan, ia boleh mengancam nyawa sekiranya pesakit tidak mendapatkan ubat diperlukan tepat pada masanya.

“Jangan biarkan pesakit, termasuk anak-anak kita, menderita, terutamanya apabila tiada langkah proaktif (KKM) untuk meramalkan isu ini dan melaksanakan mekanisme betul dan merancang menanganinya secara holistik,” katanya.

Pada masa sama, Yii juga menggesa KKM menjalankan audit bekalan farmaseutikal di kemudahan kesihatan awam dan swasta bagi melihat sepenuhnya kekurangan yang sebenarnya berlaku.

Pada 3 Jun lalu, KKM berkata, tiada kekurangan produk farmaseutikal kerana terdapat ubat dan jenama alternatif lain di pasaran yang mampu merawat pesakit sama.

Katanya, pengilang juga telah meningkatkan kapasiti pengeluaran untuk memenuhi permintaan yang meningkat.

Bagaimanapun, pada 7 Jun lalu, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin mengakui negara menghadapi masalah kekurangan beberapa ubat tanpa preskripsi selepas berbincang dengan persatuan farmaseutikal.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.