Wan Junaidi diberi mandat libat urus Akta Transformasi Parlimen

Wan Junaidi diberi mandat libat urus Akta Transformasi Parlimen

Ia termasuk mengadakan sesi libat urus bersama pihak berkepentingan mengenai semua urusan penyediaan melibatkan transformasi Parlimen.

Jawatankuasa Transformasi Parlimen telah mengemas kini Rang Undang-Undang Suruhanjaya Parlimen yang baharu dan pindaan Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952.
PETALING JAYA:
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Wan Junaidi Tuanku Jaafar diberi mandat untuk mengadakan sesi libat urus bersama pihak berkepentingan mengenai semua urusan penyediaan melibatkan transformasi Parlimen.

Bahagian Komunikasi Parlimen Malaysia menerusi kenyataan memaklumkan perkara itu melibatkan Akta Suruhanjaya Parlimen, pindaan Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952 serta Kod Etika Ahli Parlimen.

“Semua ini harus diselesaikan sebelum sesi Parlimen akan datang. Parlimen Malaysia akan menjadikan perkara ini sebagai keutamaan dan sentiasa menyokong serta bekerjasama bagi menjayakan agenda ini,” menurut laporan Bernama.

Kenyataan turut menyebut, susulan keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri pada 1 Jun lalu, Yang Dipertua Dewan Negara, Rais Yatim dan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Azhar Azizan Harun telah mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Transformasi Parlimen hari ini.

Mesyuarat itu turut dihadiri Wan Junaidi, Ketua Pentadbir Parlimen Malaysia dan Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri.

“Dimaklumkan dalam mesyuarat tersebut, Jawatankuasa Transformasi Parlimen telah mengemas kini Rang Undang-Undang Suruhanjaya Parlimen yang baharu dan pindaan Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952 serta telah dimajukan kepada Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob.”

Kerajaan melalui Mesyuarat Jemaah Menteri telah bersetuju pada dasarnya dengan cadangan dan perakuan Jawatankuasa Transformasi Parlimen supaya Parlimen Malaysia berfungsi mengikut dasar pengasingan kuasa seperti diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Ini termasuk cadangan mewujudkan Suruhanjaya Perkhidmatan Parlimen yang kendiri serta pindaan Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.