
“Kolej belum lagi ditutup. Pelajar masih menghadiri kelas yang dilaksanakan secara dalam talian sejak perintah kawalan pergerakan (PKP),” katanya kepada FMT.
Fairol berkata, pengajian secara dalam talian kekal dilaksanakan bagi tiga pelajarnya yang mengambil diploma jurusan animasi.
Katanya, ketiga-tiga mereka berada pada semester akhir.
“Mengambil kira hanya tiga pelajar sahaja, lebih baik kelas dikendalikan secara dalam talian berbanding bagi mereka hadir secara fizikal.”
Beliau berkata, “ketiga-tiga” pelajar itu sahaja yang mendakwa kolej berkenaan sudah ditutup.
Awal hari ini, pelajar dari kolej itu membuat laporan polis terhadap pusat pengajian mereka, sambil mendakwa ditipu selepas dikatakan “ditutup tanpa notis terlebih dahulu”.
Pelajar yang enggan dikenali itu mendakwa, dia hanya mengetahui mengenai penutupan institusi tersebut selepas dimaklumkan pensyarahnya.
Pelajar terbabit berkata, dia bersama rakan sepengajiannya bimbang tidak mendapat ijazah atau diploma daripada pusat pengajian itu susulan dakwaan penutupan.
Katanya, dia juga sudah menulis surat kepada Kementerian Pengajian Tinggi berhubung perkara berkenaan.