Krisis ayam akan berakhir tak lama lagi, tapi perlu pembaharuan, kata ahli ekonomi

Krisis ayam akan berakhir tak lama lagi, tapi perlu pembaharuan, kata ahli ekonomi

Krisis ayam mendedahkan masalah struktur dalam pengeluaran, pengedaran dan perdagangan makanan, serta ketiadaan sekuriti.

Kekurangan ayam di Singapura bukan masalah Malaysia, kata seorang pakar ekonomi. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Krisis bekalan ayam akan berakhir dalam beberapa minggu lagi, tetapi ia telah mendedahkan masalah struktur yang memerlukan pembaharuan jangka panjang, kata seorang pakar ekonomi.

Geoffrey Williams daripada Universiti Sains dan Teknologi Malaysia berkata, walaupun larangan eksport Malaysia mengakibatkan kekurangan ayam di Singapura, itu menjadi masalah republik itu, bukan Malaysia.

Katanya, hanya 6% daripada ayam itik Malaysia dieksport, walaupun ayam dari Malaysia menyumbang 33% daripada penggunaan Singapura.

Sebaik sahaja larangan eksport ditarik balik, pasaran dijangka kembali normal, katanya.

Bagaimanapun, seorang lagi pakar ekonomi berkata, penternak ayam itik Malaysia mungkin kehilangan pasaran eksport Singapura untuk selama-lamanya.

Carmelo Ferlito daripada Pusat Pendidikan Pasaran berkata, larangan eksport yang berkuat kuasa 1 Jun itu akan menyingkirkan pasaran eksport utama bagi penternak ayam itik dan beberapa pengeluar boleh ditutup, menjejaskan bekalan ayam tempatan.

Mengulas laporan mengenai perjanjian Singapura untuk mengimport 10 kali lebih banyak ayam sejuk dari Thailand, Ferlito berkata: “Sementara Malaysia bermain permainan yang memakan diri, kita tidak boleh harap seluruh dunia duduk dan tunggu kita. Semestinya mereka akan cari ayam di tempat lain.”

Williams berkata, krisis ayam itu mendedahkan masalah struktur dalam pengeluaran, pengedaran dan perdagangan makanan, serta ketiadaan sekuriti.

Beliau mencadangkan agar semua permit import untuk makanan dan bahan makanan haiwan dimansuhkan kerana kos dedak yang tinggi akan disalurkan kepada pelanggan.

Tingkah laku anti-persaingan harus didedahkan dan dihukum menerusi Suruhanjaya Persaingan Malaysia, katanya.

Ferlito berkata, keputusan kerajaan untuk menetapkan siling harga dan melaksanakan larangan eksport seolah-olah menjadi “hukuman” terhadap industri ayam itik.

Kedua-dua langkah itu akan memburukkan lagi ketegangan harga dan memanjangkan proses pelarasan antara bekalan dan permintaan, katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.