
Faisal Abdul Aziz, pengerusi kumpulan reformasi pilihan raya Bersih, berkata reformasi yang diusahakan kerajaan sebenarnya berakar umbi dalam tradisi Islam memandangkan ia berkisar tentang nilai-nilai seperti amanah, keadilan, dan tadbir urus yang beretika.
“Dalam Islam, terdapat konsep ‘islah’ yang menyarankan perubahan demi kebaikan masyarakat berdasarkan prinsip tertentu,” katanya kepada FMT. “Perubahan yang diperjuangkan oleh ‘islah’ termasuk membasmi rasuah dan penyalahgunaan kuasa.”
Pada Isnin, Hadi mengkritik reformasi ‘diimport dari Barat’ oleh kerajaan perpaduan, sambil memberi amaran gerakan itu mengheret Malaysia ke arah kemerosotan moral dan sosial.
Beliau berkata reformasi itu yang bertujuan meningkatkan sistem sosial, politik, ekonomi, dan agama – ‘masih terus bergayut dengan teguh kepada fahaman sekularisme berdasarkan prinsip ciptaan manusia sahaja yang tidak berpandukan hidayah Allah’.
Faisal berkata melabelkan reformasi sebagai konsep ‘Barat’ menafikan fakta bahawa matlamat tadbir urus yang baik wujud dalam pentadbiran Islam dan sekular.
“Adalah penting bagi semua pihak untuk bekerjasama dalam mendorong pelaksanaan reformasi ini.”
Nilai idea dari segi keadilan
Sarjana Turki, Mustafa Akyol, berkata demokrasi, walaupun dibentuk di Barat, diterima pakai secara meluas oleh masyarakat Islam dan serasi dengan prinsip Islam seperti ‘syura’ (perundingan).
“PAS sendiri beroperasi dalam sistem demokrasi, memandangkan parti itu wujud dan memperoleh kuasa melalui pilihan raya,” katanya. “Ia sistem politik Barat, tetapi ia sistem yang baik, jauh lebih baik daripada kediktatoran.”
Akyol juga memberi amaran supaya tidak merangka reformasi sebagai pertembungan antara Islam dan Barat, menegaskan sesuatu idea harus dinilai berdasarkan sama ada ia adil dan saksama atau tidak.
“Kita tidak sepatutnya bertanya dari mana datangnya sesuatu idea, tetapi sama ada ia menegakkan keadilan, maruah, dan kesejahteraan manusia.”
Beliau menekankan bahawa Al-Quran mengiktiraf akal fikiran manusia sebagai kurniaan Tuhan, yang bermaksud setiap orang dan setiap tamadun, Muslim atau bukan Muslim, boleh menggunakan akal untuk menentukan apa yang baik dan betul.
Akyol juga menyatakan masyarakat Islam maju pada masa lalu dengan belajar daripada tamadun lain, maka masyarakat Islam tidak sepatutnya bersikap tertutup pada masa kini.
“Rahsia zaman kegemilangan Islam pada masa lalu, yang kita banggakan hari ini, adalah kerana umat Islam terbuka kepada sains dan falsafah semua tradisi. Kita memerlukan keterbukaan minda itu juga pada hari ini,” tambahnya.