
Walaupun Exco Selangor Ng Suee Lim menyatakan bahawa larangan sedemikian ‘masih berkuat kuasa’, Lawyers for Animal Rights berkata tiada sebarang statut, perundangan, undang-undang kecil pihak berkuasa tempatan atau garis panduan yang digazetkan dikenal pasti bagi menyokong larangan tersebut.
Kumpulan itu menggesa kerajaan negeri menyatakan peruntukan undang-undang yang tepat yang memberi kuasa kepada larangan berkenaan atau Ng menarik balik dakwaannya bahawa larangan tersebut wujud.
“Dalam sebuah demokrasi berperlembagaan yang ditadbir oleh kedaulatan undang-undang, sekatan terhadap perlakuan yang sah tidak boleh dikenakan melalui pengumuman atau secara tersirat. Kuasa eksekutif mesti boleh dikesan sumbernya dalam undang-undang.
“Kami juga mengambil maklum bahawa pusat beli-belah merupakan premis milik persendirian. Tanpa perundangan yang jelas, kerajaan negeri tidak mempunyai kuasa untuk mengenakan larangan menyeluruh terhadap cara pemilik harta persendirian mengawal selia perlakuan yang sah dalam premis mereka.
“Sebarang cubaan sedemikian adalah ultra vires, bersifat sewenang-wenangnya dan tidak sah dari segi undang-undang,” kata kumpulan itu dalam satu kenyataan.
Kumpulan tersebut juga berkata terdapat langkah-langkah kurang menyekat yang boleh dikenakan kerajaan negeri berbanding larangan menyeluruh, seperti penguatkuasaan piawaian kebersihan yang ketat, mewajibkan haiwan peliharaan diikat tali, serta menyediakan kawasan khas untuk haiwan peliharaan.
“Jika peraturan dianggap perlu, laluan yang sah adalah jelas: menggubal undang-undang secara telus, berunding dengan pihak berkepentingan, dan memastikan pematuhan kepada piawaian perlembagaan dari segi kesahan, kesaksamaan dan perkadaran.”
Sebuah pusat beli-belah baharu di Lembah Klang yang membenarkan pengunjung membawa haiwan peliharaan ke dalam premisnya sebelum ini telah mencetuskan pelbagai reaksi di media sosial.
Ng kemudiannya berkata kerajaan Selangor melarang haiwan peliharaan dibawa masuk ke pusat beli-belah.
Beliau berkata kerajaan negeri akan mengkaji semula garis panduan bagi mengekalkan keharmonian masyarakat serta terdapat keperluan untuk mempertimbangkan sama ada pusat beli-belah mesra haiwan peliharaan sesuai atau tidak memandangkan komposisi masyarakat Selangor yang berbilang kaum.