Tiada larangan hiasan perayaan bukan Islam, kata menteri

Tiada larangan hiasan perayaan bukan Islam, kata menteri

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Zulkifli Hasan berkata keputusan Jakim pada 2023 bagaimanapun tertakluk kepada beberapa syarat.

Sebelum ini tular surat pekeliling Jabatan Agama Islam Melaka menyatakan larangan hiasan Krismas di premis mana-mana hotel atau cawangan di negeri itu yang mempunyai sijil halal.
PETALING JAYA:
Tiada larangan dikenakan untuk mana-mana premis halal menggunakan hiasan perayaan agama lain seperti yang telah diputuskan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dua tahun lalu, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Zulkifli Hasan.
Zulkifli Hasan.

Bagaimanapun, beliau berkata ia tertakluk kepada beberapa syarat termasuk penggunaan hiasan terbabit tidak menjejaskan prinsip halalan thoyyiban serta tidak melibatkan paparan logo dan sijil pengesahan halal.

“Manakala hiasan selain daripada agama Islam pada produk makanan yang bersifat tidak kekal adalah dibenarkan dan penggunaan peralatan sembahan pula tidak dibenarkan.

“Ia adalah sebagaimana keputusan yang dibuat oleh Jakim pada 2023 bahawa tiada larangan dikenakan kepada pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) namun perlu tertakluk kepada syarat berkenaan.

“Keputusan ini terpakai kepada isu dekorasi hiasan perayaan selain Islam di bahagian dapur atau outlet hotel yang mempunyai SPHM,” katanya dalam kenyataan.

Selain itu, beliau berkata pihak industri digalakkan terus mematuhi piawaian halal sedia ada tanpa mengetepikan aspek keharmonian kaum kerana sifat menghormati kepelbagaian budaya serta agama di negara ini adalah sebahagian identiti masyarakat majmuk.

Katanya, hotel dan premis makanan halal dinasihatkan sentiasa merujuk pihak berkuasa pensijilan halal bagi mendapatkan panduan jelas bagi memastikan pematuhan berterusan terhadap piawaian ditetapkan.

“Kerjasama erat antara pihak berkuasa Islam negeri, Jakim dan pemain industri amat penting bagi memastikan pelaksanaan dasar dan garis panduan halal dilaksanakan secara berhemah dan mengambil kira kepentingan umat Islam dan keharmonian masyarakat keseluruhannya,” katanya.

Semalam, Ketua Pemuda Umno, Dr Akmal Saleh, menyeru Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim) meneliti semula keputusan larangan hiasan perayaan terbabit bagi premis halal di negeri itu.

Akmal yang juga Adun Merlimau berkata, penentuan halal bagi makanan dan minuman bergantung sepenuhnya kepada sumber bahan dan cara penyediaan, bukannya elemen dekorasi di premis.

Selain itu, Adun Ayer Keroh, Kerk Chee Yee daripada DAP turut menggesa kerajaan Melaka mengesahkan sama ada premis makanan dan hotel yang mempunyai sijil halal di negeri itu dilarang memasang hiasan Krismas.

Beliau turut menyarankan Jaim menarik balik larangan kerana arahan sedemikian satu langkah ke belakang bagi negeri berkenaan.

Sebelum ini, tular surat pekeliling Jaim menyatakan larangan hiasan Krismas di premis mana-mana hotel atau cawangan di Melaka yang mempunyai sijil halal, memandangkan Krismas adalah sambutan keagamaan, bukan kebudayaan dan boleh ‘menimbulkan isu berkaitan akidah’.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.