Mahkamah tolak saman RM1 juta dituntut remaja hilang kaki

Mahkamah tolak saman RM1 juta dituntut remaja hilang kaki

Keputusan itu dibuat selepas mahkamah mendapati tuntutan dibuat remaja "dicemari dengan penipuan".

Hakim Mahkamah Sesyen mengesahkan wujud unsur penipuan berdasarkan laporan polis, laporan perubatan, bukti di lokasi kemalangan, saksi yang boleh dipercayai, serta kelakuan plaintif. (Gambar Reuters)
PETALING JAYA:
Mahkamah Sesyen Pasir Mas, Kelantan menolak tuntutan saman sebanyak RM1 juta yang dibuat seorang remaja terhadap syarikat insurans selepas mendakwa motosikalnya terlibat dalam kemalangan dengan motosikal lain.

Azmie Azzem Bahari, yang kehilangan kaki kanan dalam “kemalangan palsu” tersebut menuntut sejumlah itu daripada RHB Insurance Bhd atas sebab kecuaian dan kehilangan sumber pendapatan namun mahkamah memutuskan tuntutannya “dicemari dengan penipuan”.

Hakim Badrul Munir Mohd Hamdy berkata, keputusan itu dibuat selepas mendengar keterangan daripada saksi, serta keterangan dan hujahan bertulis.

Katanya, kecuaian boleh berlaku jika hanya melibatkan kemalangan dengan motosikal lain.

Bagaimanapun, peguam J S Naicker yang mewakili RHB Insurance Bhd, berhujah bahawa kenderaan yang dinaiki pemuda itu hanya melanggar tiang lampu.

Hakim berkata, terdapat unsur penipuan berdasarkan laporan polis, laporan perubatan, bukti di lokasi kemalangan, saksi yang boleh dipercayai, serta kelakuan plaintif.

“Mahkamah berpuas hati bahawa plaintif gagal membuktikan keraguan munasabah terhadap defendan,” katanya dengan menambah bahawa RHB Insurance Bhd berjaya membuktikan wujudnya penipuan dalam laporan kemalangan itu.

“Plaintif bertanggungjawab sepenuhnya atas kemalangan itu,” kata Badrul.

Kejadian berlaku di hadapan Hospital Kelaboran di Tumpat, Kelantan kira-kira jam 4.15 petang pada 3 April 2016.

Pada 29 Ogos 2019, Azmie juga memfailkan tuntutan kecuaian dan kehilangan pendapatan terhadap seorang lagi penunggang motosikal Shafiq Rashid.

Dalam tuntutan itu, dia turut menyenaraikan kakak Shafiq, Suhaila yang juga pemilik motosikal dan syarikat insurans RHB Insurance Bhd sebagai defendan.

Prosedur mahkamah pada kebiasaannya akan membuat penilaian ganti rugi sebanyak RM450,000 jika saman itu tulen.

Plaintif dan syarikat insurans memanggil 20 saksi sepanjang perbicaraan itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.