
Dituduh mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya, Zainal Abidin Alias dan anak beliau, Riza, berdepan hukuman mati mandatori atas dakwaan mengedar ganja seberat 1,020g, jika sabit kesalahan.
Mereka juga dituduh mengikut Seksyen 9(1)(b) akta sama kerana didakwa menyimpan minyak ganja seberat 60ml.
Zainal, 78, dan Riza, 53, berdepan hukuman penjara tidak lebih lima tahun atau denda tidak lebih RM20,000 atau kedua-duanya sekali, jika didapati bersalah.
Sementara itu, Riza turut dituduh mengikut Seksyen 15(1)(a) ADB kerana didakwa menggunakan bahan psikoaktif kanabis jenis THC-COOH dengan cara salah.
Beliau berdepan denda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih 2 tahun, jika sabit kesalahan.
Tiada pengakuan direkodkan di depan majistret Shahrul Ekhsan Hashim bagi pertuduhan Seksyen 39B(1)(a) ADB.
Tertuduh meminta dibicarakan bagi pertuduhan Seksyen 9(1)(b) dan Seksyen 15(1)(a).
Majistret menetapkan 13 Jun untuk pendengaran kes.
Zainal dan Riza diwakili peguam Rahmat Mohamed Hazlan dan Tania Scivetti, sementara Mohammad Khalid mewakili pendakwaan.
Media pada 24 Mei melaporkan polis menemui lebih 100 batang pokok ganja di sebuah ladang dalam serbuan ke atas sebuah kediaman di Kampung Sum Sum Hilir.
Kes disifatkan sebagai rampasan pokok ganja terbesar kerana sebelum ini ia hanya membabitkan pokok yang ditanam dalam pasu.