
Bulan lalu, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Zuraida Kamaruddin berkata, kebanyakan dakwaan buruh paksa dibuat oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta kumpulan lain tidak disahkan pihak berkuasa AS, seterusnya mengakibatkan larangan yang tidak adil terhadap minyak sawit dan produk sawit Malaysia.
Mengulas kenyataan itu, seorang pegawai kanan CBP hari ini menegaskan bahawa WRO dikeluarkan berdasarkan siasatan menyeluruh, dengan agensi itu bergantung kepada audit pihak ketiga bebas yang dilantik syarikat terlibat.
“WRO dikeluarkan berdasarkan hasil siasatan yang kami jalankan, dan sekali lagi melihat kepada tahap bukti yang diperlukan untuk WRO kami,” kata Eric Choy, pemangku pengarah eksekutif pemulihan perdagangan dan penguatkuasaan undang-undang di Pejabat Perdagangan CBP.
“Sebelum kami mengeluarkan WRO, ia melalui pemeriksaan undang-undang mendalam oleh pasukan perundangan serta antara agensi dalam kerajaan persekutuan AS. Jadi kami memang yakin sebaik WRO dikeluarkan, kami mempunyai bukti mencukupi.”
Katanya, itu tidak bererti CBP tidak akan menghantar pasukan bagi melakukan pengesahan pada satu peringkat.
Bagaimanapun, beliau tidak memberi jawapan jelas apabila disoal FMT sama ada CBP pernah menghantar pegawai untuk melakukan siasatan berkaitan buruh paksa di Malaysia.
“Itu merupakan maklumat proprietari berkaitan siasatan kami. Sukar untuk menjawab soalan berkenaan secara khusus. Namun kami yakin dengan siasatan dan analisis kami,” katanya.
Menurutnya, CBP menggunakan maklumat daripada wartawan penyiasatan, rakan agensi CBP, sumber penguatkuasaan undang-undang lain, NGO serta kumpulan masyarakat awam dalam mengumpulkan bukti sebelum mengeluarkan WRO.
Sementara itu, Timbalan Penolong Pesuruhjaya Eksekutif di Pejabat Perdagangan CBP John Leonard berkata pihaknya turut menerima “banyak maklumat dan bahan” bersama dakwaan daripada sumbernya.
“Semuanya membolehkan kami mengesahkan maklumat seterusnya mencapai tahap syak yang munasabah bahawa buruh paksa digunakan dalam penghasilan barangan yang memasuki AS.”
Lapan syarikat Malaysia termasuk yang terlibat dengan minyak sawit dan penghasilan sarung tangan pada mulanya disenaraikan sebagai produk dilarang memasuki AS disebabkan “bukti munasabah” mengenai amalan buruh paksa.
Dua syarikat pembuat sarung tangan, Top Glove dan WRP Asia Pacific telah dikeluarkan daripada senarai itu selepas memenuhi syarat CBP.