
Zahidi merupakan “penyokong kuat” agar tanaman berkenaan “dihalalkan” bagi tujuan pemangkin ekonomi demi meningkatkan pendapatan penduduk luar bandar.
Katanya, penanaman dan hasil pendapatan ketum juga mampu memberi manfaat kepada lebih dua juta penduduk luar bandar, sekali gus membantu mereka keluar daripada garis kemiskinan.
Beliau berkata, cadangan model tanaman tersebut adalah setiap penduduk dari kawasan luar bandar itu hanya dibenarkan lima pokok sahaja.
Menurut beliau, melalui lima batang pokok itu setiap pengusaha mampu menjana pendapatan antara RM1,500 hingga RM2,000 sebulan atau RM24,000 setahun.
Zahidi, yang juga ahli Parlimen Padang Besar itu berkata, daripada keseluruhan hasil yang diperolehi pengusaha dalam tempoh setahun, RM1,000 yang disalurkan kepada kerajaan mampu menjana pendapatan negara sehingga RM2 bilion melibatkan dua juta penduduk itu.
“Ketika ini, negara jiran sudah mampu menjana pendapatan hasil daripada ketum ini sebanyak RM3.8 bilion setahun, sedangkan Malaysia masih mengkaji dan terus memberi pendapat mengenai tumbuhan itu.
“Ketum ini, banyak kali kita terang, bukan minum ketum tapi permintaan luar negara yang sangat tinggi untuk tujuan perubatan. Sekarang negara jiran kita dapat RM3.8 bilion setahun, mengapa kita tidak dapat?” katanya menurut laporan Utusan Malaysia.
Beliau mendakwa, individu tegar yang gemar menyalah guna ketum tidak sampai 3,000 orang, namun kesan positif kepada dua juta penduduk luar bandar perlu diambil kira.
“Kita harap orang yang tidak tahu pasal ketum dan kemiskinan penduduk luar bandar ini, janganlah protes terhadap penanaman ketum,” katanya.