
Bagi Muhammed Abdul Khalid, objektif menurunkan kadar kemiskinan daripada 5.8% ketika ini kepada 4.7% dalam tempoh lima tahun akan datang sangat berbeza dengan hasrat kerajaan menjadikan Malaysia negara berpendapatan tinggi.
“Kita mahu berada dalam kelompok 30 negara teratas di dunia (dari segi pendapatan), itu sesuatu terpuji,” katanya kepada FMT. “Namun pada masa sama, kita mesti pastikan pertumbuhan itu inklusif.”
Dalam sebuah program bicara anjuran Kelab Belia Prihatin pada 14 Ogos, Muhammed berkata, kerajaan sepatutnya memberi lebih tumpuan kepada usaha mengurangkan kemiskinan dan mengecilkan jurang pendapatan.
“Hanya dengan itu kita akan menjadi sebuah negara maju, di mana semua orang dapat manfaat,” katanya.
Pada 31 Julai, ketika membentangkan 13MP untuk perbahasan di Dewan Rakyat, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata sasaran kerajaan juga termasuk membasmi kemiskinan tegar, yang kini berada pada kadar 0.19% daripada jumlah isi rumah.
Muhammed yang pernah menjadi penasihat ekonomi kepada Dr Mahathir Mohamad semasa penggal kedua sebagai perdana menteri, turut mempersoalkan peningkatan RM15 bilion dalam perbelanjaan pembangunan kepada RM430 bilion berbanding RMK12.
“Itu hanya RM3 bilion setahun. Kita perlu berbelanja lebih untuk kesihatan, pendidikan, dan perumahan. Kerajaan telah mengumumkan rancangan membina sejuta rumah mampu milik baharu dalam tempoh 10 tahun akan datang.”
“Macam mana sasaran ini mahu dicapai? Siapa yang akan bertanggungjawab melaksanakannya?” soalnya.
Beliau turut menganggap kelemahan lain dalam RMK13 adalah keputusan Anwar tidak menggunakan semula PR1MA, iaitu program perumahan mampu milik kerajaan terdahulu, walaupun berjanji membina sejuta rumah mampu milik dari 2026 hingga 2035.
Katanya, kelemahan ketara lain dalam RMK13 adalah sasaran rendah untuk mengecilkan jurang pendapatan. “Ketidaksamarataan pendapatan tidak ditangani dengan serius walaupun ia merupakan antara cabaran terbesar,” katanya.
“(Situasi ini) menjadi lebih buruk kerana golongan berpendapatan rendah terus menanggung pelbagai jenis cukai,” katanya.
Beliau menyifatkan sasaran kerajaan mengecilkan jurang kaya-miskin hanya 1% dalam tempoh lima tahun sebagai ‘sangat sederhana’.
Di bawah RMK12, jurang itu diukur menggunakan pekali Gini sebanyak 0.390. Sasaran di bawah RMK13 adalah 0.386. Bagi Muhammed, ia hanyalah ‘sekadar simbolik’.
Purata pekali Gini dalam Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) ialah 0.315.
“Jika kerajaan hanya mensasarkan pengurangan marginal, jurang ketidaksamarataan menjelang 2030 akan kekal luas dan jauh daripada standard masyarakat lebih adil. Ini tidak baik untuk ekonomi dan rakyat,” katanya.
Pada 2020, Jabatan Perangkaan melaporkan ketidaksamarataan pendapatan negara lebih tinggi pada 2019, berbanding 2016.