
Ketua pegawai eksekutif syarikat keselamatan siber Novem CS, Murugason R Thangaratnam berkata, kebocoran set data baru-baru ini yang mengandungi maklumat kira-kira 22.5 juta rakyat Malaysia menyerlahkan keperluan undang-undang khusus keselamatan siber.
“Kerajaan mungkin berkata keselamatan negara tidak terjejas dengan kebocoran baru-baru ini tetapi saya lebih mementingkan keselamatan peribadi.
“Memandangkan Malaysia tidak mempunyai akta keselamatan siber, bagaimana kerajaan boleh memastikan data rakyat tidak bocor?” soal beliau dalam forum bertajuk “Kebimbangan Keselamatan dalam Rantaian Nilai Kritikal”.
Murugason berkata, kerajaan harus membangunkan “rangka kerja keselamatan siber berdaulat” dengan data yang disimpan dalam negara, bukannya pada pelayan di luar negara.
Katanya, menyimpan data di luar negara adalah sama seperti memberikan data kepada negara lain dan boleh menjejaskan keselamatan maklumat itu.
Beliau menggalakkan kerajaan dan sektor swasta bekerjasama dalam berkongsi kepakaran dan risikan bagi memastikan keselamatan siber negara berkesan.
Baru-baru ini, dilaporkan satu set data yang dikatakan milik Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dijual dalam talian.
Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainudin, ketika menjawab isu kebocoran itu berkata, set data itu bukan milik JPN.
Set data itu dikatakan mengandungi maklumat, termasuk nama penuh, nombor kad pengenalan, alamat dan gambar kira-kira 22.5 juta rakyat Malaysia yang lahir antara 1940 dan 2004.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Kamarudin Md Din, mengesahkan bahawa polis sedang menyiasat perkara itu.