
RapidKL mengumumkan menerusi platform media sosialnya pada kira-kira 8.45 pagi bahawa laluan itu mengalami “kelewatan”, namun tidak mengulas lanjut.
Dalam kemas kini seterusnya pada 9.15 pagi, ia berkata, ia telah mengembalikan perkhidmatan pada kelajuan biasa dengan frekuensi tren dijangka pulih.
“Terima kasih atas kesabaran anda dan kami mohon maaf atas sebarang kesulitan,” katanya tanpa mengulas lanjut mengenai kejadian itu.
Seorang pengguna Twitter, @Shahrul1289, mendakwa sebuah tren di laluan Kelana Jaya tiba-tiba berhenti, mengakibatkan beberapa penumpang termasuk dirinya, terjatuh.
“Minta selesaikan isu ini secepat mungkin,” katanya dalam satu ciapan yang menyebut @MyRapidKL @AskRapidKL.
Sebagai respons, RapidKL memohon maaf atas kejadian itu dan berkata, kakitangannya telah memeriksa tren tersebut. Katanya lagi, tiada penumpang mengalami sebarang kecederaan.
Warganet lain mengecam gangguan terbaru di laluan LRT ini, dengan pengguna Facebook Reese Ooi menyindir bahawa pengguna membayar untuk membuat perjalanan, bukan untuk dilewatkan.
Pengguna lain mempersoalkan mengapa ia itu sebegitu semakin kerap berlaku dan meminta RapidKL dikenakan penalti atas isu yang konsisten itu.
“Apa yang sedang terjadi? Sudah terlalu kerap dalam tempoh beberapa minggu ini. Semua orang perlukan pengangkutan yang boleh diharapkan untuk pergi bekerja,” kata Jane Tan di Facebook.
Kejadian ini menyusuli gangguan di laluan Kelana Jaya Jumaat lepas akibat kebocoran hidraulik angkup brek pada tren LRT dan menjejaskan 22,100 penumpang pada waktu puncak pada hujung hari bekerja.
Kejadian ini juga dilaporkan sebagai kegagalan tren ketiga di laluan LRT tersebut dalam tempoh kira-kira dua minggu.