
Rapid Rail berkata isu tersebut melibatkan komponen pengumpul arus elektrik tren yang mengalami kerosakan semasa operasi pada 8.10 pagi.
“Sebaik isu ini dikesan, tren berkenaan segera dikeluarkan daripada perkhidmatan bagi membolehkan pasukan kejuruteraan menjalankan pemeriksaan lanjut secara menyeluruh.
“Pasukan operasi bertindak mengikut prosedur keselamatan yang ditetapkan bagi memastikan semua penumpang berada dalam keadaan selamat dan mengurangkan sebarang gangguan kepada perkhidmatan,” katanya dalam satu kenyataan.
Semalam, seorang pengguna X berkata dia terdengar bunyi ‘letupan kuat’ di gerabak pertama semasa dalam perjalanan dari Taman Melawati menuju ke Wangsa Maju dan Putra Heights.
Seorang lagi pengguna memberitahu penumpang diminta untuk turun di stesen Sri Rampai.
Rapid Rail berkata, pemeriksaan awal turut mendapati semua sistem keselamatan tren berfungsi seperti yang ditetapkan dan mengikut spesifikasi operasi.
“Rapid Rail memohon maaf atas sebarang kesulitan yang dialami oleh penumpang serta menghargai kesabaran dan kerjasama orang ramai sepanjang pengendalian insiden ini,” katanya.