
Wanita berkenaan ketika memberitahu FMT, berkata anak perempuannya itu kini dalam ketakutan untuk keluar selepas suspek yang dikatakan berusia lingkungan 30-an, meraba alat sulitnya dalam lif, dalam kejadian berlaku, semalam.
Ibu itu berkata, dia segera membuat laporan polis berhubung kejadian itu, di balai polis Pantai, susulan itu suspek berkenaan ditahan.
“Namun, apa yang berlaku selepas itu tidak menjadikan diri saya rasa selamat. Saya diberitahu dia dibebaskan selepas menunjukkan kad OKU,” katanya.
“Suspek itu tidak sepatutnya dibiarkan bebas. Saya berharap pihak berkuasa menangkapnya. Anak perempuan saya takut untuk keluar kerana bimbang akan bertembung dengan suspek yang menetap di flat sama.”
Menceritakan semula kejadian, wanita berkenaan berkata, anak perempuannya dalam perjalanan pulang daripada selepas membeli barang di kedai runcit berdekatan.
“Dia sudah berada dalam lif bila suspek masuk ke lif daripada tingkat bawah. Apabila lif berhenti di tingkat lapan, dia meraba alat sulit anak saya sebelum keluar,” katanya.
Katanya, sekiranya apa yang dikatakan benar bahawa suspek adalah pemegang kad OKU, dia sepatutnya dihantar ke institusi mental atau diletakkan dalam pengawasan. Sebelum ini, jirannya juga ada mengadu berlaku kejadian serupa membabitkan suspek sama.
Dalam pada itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Habibi Majinji, berkata polis akan kembali menangkap suspek secepat mungkin.
“Pihak polis sudah merakam keterangan daripada mangsa dan suspek. Berdasarkan keterangan, suspek mempunyai masalah mental.
“Polis akan membawa suspek ke Hospital Bahagia selepas mendapat perintah mahkamah,” katanya.