
Ketua Polis Kulai, Tan Seng Lee, berkata pihaknya menerima laporan kejadian daripada nenek mangsa kira-kira 9.29 malam pada Ahad lalu.
“Dalam kejadian kira-kira 7.30 malam, mangsa yang juga cucu pengadu telah dicabul oleh seorang lelaki ketika berada di dalam tandas awam terbabit.
“Bertindak atas maklumat itu, sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kulai berjaya menahan suspek kira-kira 5.45 petang pada Khamis di sekitar kawasan Kulai,” katanya dalam kenyataan, menurut Sinar Harian.
Tan berkata lelaki tempatan berusia 32 tahun itu dikesan mempunyai tiga rekod lampau membabitkan kes jenayah seksual.
“Siasatan lanjut masih dijalankan untuk mengenal pasti sama ada suspek turut terbabit dalam kes jenayah lain di dalam atau luar daerah Kulai,” katanya.
Tambahnya, suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Kulai hari ini untuk permohonan reman.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017,” katanya.