Anggota polis didakwa cabul, aib wanita Orang Asli

Anggota polis didakwa cabul, aib wanita Orang Asli

Karisa Karim juga didakwa mendatangkan kecederaan terhadap mangsa berusia 21 tahun itu di sebuah kebun sawit.

Gavel
Karisa Karim didakwa di Mahkamah Majistert Parit di Perak tiga tuduhan termasuk mencabul dan mengaibkan kehormatan seorang wanita Orang Asli dua minggu lalu. (Gambar Pexels)
PETALING JAYA:
Seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Parit di Perak atas tiga tuduhan termasuk mencabul kehormatan seorang wanita Orang Asli pada 21 Sept lalu.

Karisa Karim, 28, membuat pengakuan itu selepas tuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurul Izalina Rajaai, lapor Sinar Harian.

Mengikut pertuduhan pertama, Karisa didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap mangsa berusia 21 tahun dengan niat mencabul kehormatannya di sebuah kebun sawit berhampiran sebuah perkampungan Orang Asli kira-kira 3.10 pagi pada 21 Sept lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua daripada hukuman tersebut, jika sabit kesalahan.

Karisa juga didakwa mengaibkan kehormatan mangsa apabila merakam wanita itu yang berada dalam keadaan tidak berseluar menggunakan telefon bimbit.

Dia juga didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Anggota polis itu juga dituduh mendatangkan kecederaan terhadap mangsa dan didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Timbalan Pendakwa Raya, Wan Mohd Ameerul Nazhif Wan Zulfikri menawarkan jaminan RM4,000 bagi setiap pertuduhan.

Tertuduh yang diwakili Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Jeyamaran Sandanasamy memohon jaminan dikurangkan dengan alasan anak guamnya menanggung ibu yang sudah tua selain dimaklumkan mempunyai masalah anxiety (keresahan).

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM2,000 bagi setiap pertuduhan dan menetapkan 29 Okt depan untuk sebutan semula kes serta lantikan peguam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.