Kes ganas di sekolah berkait masalah sosial, psikologi, kata MMA

Kes ganas di sekolah berkait masalah sosial, psikologi, kata MMA

Presiden Dr Thirunavukarasu Rajoo berkata keselamatan di sekolah mesti melangkaui perlindungan fizikal termasuk kesejahteraan mental dan emosi pelajar.

Thirunavukarasu Rajoo
Presiden MMA Dr Thirunavukarasu Rajoo berkata remaja kini berdepan tekanan belum pernah dihadapi merangkumi tekanan akademik hingga ke pengaruh media sosial, selain terdedah kandungan dalam talian bahaya. (Gambar MMA)
PETALING JAYA:
Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) sangat khuatir peningkatan tingkah laku ganas yang ‘membimbangkan’ dalam kalangan pelajar, sambil menyatakan ia paparan isu sosial dan psikologi lebih besar yang mesti ditangani segera.

Presiden Dr Thirunavukarasu Rajoo, berkata insiden baru-baru ini di mana seorang pelajar ditikam mati di sebuah sekolah di Bandar Utama dan kejadian rogol berkumpulan melibatkan pelajar berupa peringatan tragis keganasan yang semakin meningkat dalam persekitaran yang sepatutnya selamat untuk kanak-kanak.

Beliau menekankan keselamatan di sekolah mesti melangkaui perlindungan fizikal termasuk kesejahteraan mental dan emosi pelajar.

Thirunavukarasu berkata, kanak-kanak dan remaja kini berdepan tekanan belum pernah dihadapi merangkumi antaranya tekanan akademik hingga ke pengaruh media sosial, selain terdedah kandungan dalam talian berbahaya.

Berlebihan dalam permainan video dan aktiviti dalam talian, tambahnya antara perkara dikaitkan dengan kebimbangan kesihatan mental seperti kurang tidur, pengasingan sosial, dan perubahan tingkah laku.

Thirunavukarasu juga menyeru ibu bapa, penjaga, dan pendidik sentiasa berwaspada dan aktif mengekalkan komunikasi terbuka dan cakna aktiviti, lingkungan sosial, serta tabiat dalam talian mereka.

“Ambil masa bercakap dengan anak-anak anda, kenali siapa rakan-rakan mereka, dan peka mengenai aktiviti mereka.

“Jika anda perasan sebarang tingkah laku luar biasa seperti pengasingan diri, mudah marah, perubahan mood, atau hilang minat, tolong dapatkan bantuan awal.

“Kaunseling dan sokongan profesional boleh membawa perubahan ketara,” katanya.

Thirunavukarasu mengingatkan orang ramai perkhidmatan kesihatan mental tersedia melalui sistem penjagaan kesihatan awam, termasuk hospital dan klinik kerajaan yang menyediakan akses profesional.

Keluarga juga boleh mendapatkan nasihat pengamal perubatan am swasta (GP), yang sering menjadi titik hubungan pertama mengenal pasti tanda tekanan atau penderitaan mental.

Beliau memuji kerajaan susulan penubuhan Pusat Kecemerlangan Kesihatan Mental Kebangsaan (NCEMH) di Cyberjaya, menyifatkannya inisiatif penting yang patut dimanfaatkan sepenuhnya orang ramai.

“Melindungi anak-anak kita memerlukan usaha kolektif. Kita mesti bertindak sekarang, bukan semata untuk mencegah keganasan, tetapi memupuk generasi yang lebih sihat dan lebih penyayang,” katanya.

Orang ramai boleh menghubungi Talian HEAL 15555 (tersedia dari 8 pagi hingga 12 malam setiap hari) atau Talian Kasih di 15999 / 019-261 5999 untuk tele-kaunseling dan perkhidmatan psikososial.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.