5 pelajar rentung: Reman pemandu treler disambung

5 pelajar rentung: Reman pemandu treler disambung

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar Omar Bakhtiar Yaacob berkata lelaki berusia 28 tahun itu dijangka dituduh di mahkamah selewat-lewatnya Rabu depan.

Lima pelajar Usas rentung dalam nahas apabila kereta dinaiki mereka terbakar selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan treler membawa muatan mozek dan besi pagar di Kilometer 245.2 Lebuhraya Utara Selatan arah utara. (Gambar Bomba)
IPOH:
Perintah reman terhadap pemandu treler bagi membantu siasatan kemalangan yang mengorbankan lima pelajar Universiti Sultan Azlan Shah (Usas) di Lebuhraya Utara Selatan arah utara di Kuala Kangsar, Rabu lepas, disambung tiga hari lagi bermula esok.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar Omar Bakhtiar Yaacob berkata lelaki berusia 28 tahun itu dijangka dituduh di mahkamah selewat-lewatnya Rabu depan.

“Reman dapat disambung selama tiga hari. Suspek dijangka didakwa sama ada Selasa petang atau Rabu pagi,” katanya yang dihubungi hari ini.

Media sebelum ini melaporkan pemandu treler berkenaan direman bermula Khamis lepas hingga hari ini bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Siasatan polis mendapati pemandu itu mempunyai 22 saman trafik dengan daripada jumlah itu, 21 saman telah dibayar termasuk lapan saman berkaitan kesalahan memandu laju.

Lima pelajar yang maut ialah Muhammad Nasrun Aidol Munir Akbar, 22; Ahmad Naim Najmi Ahmad Hafizan, 21; Iqbal Hasnun Halimi, 23; Muhammad Nabil Haikal Muhammad Fariz, 19, dan Ahmad Akmal Ahmad Mokhlis, 20.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.