Pekerja asing tanpa dokumen boleh mohon tebus rugi di Mahkamah Buruh

Pekerja asing tanpa dokumen boleh mohon tebus rugi di Mahkamah Buruh

Keputusan itu menandakan satu langkah penting dalam memastikan kumpulan terpinggir seperti pekerja asing tanpa dokumen mendapat akses kepada keadilan, kata Glorene Das daripada Tenaganita.

Hakim Mahkamah Rayuan Ravinthran Paramaguru memutuskan bahawa tiada sebarang peruntukan dalam Akta Kerja yang menghalang seseorang pekerja daripada mendekati mahkamah bagi mendapatkan tebus rugi.
PETALING JAYA:
Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi bahawa seorang pekerja tanpa dokumen mempunyai hak untuk kesnya didengar oleh Mahkamah Buruh.

Pengarah Eksekutif Tenaganita Glorene Das berkata, keputusan itu menandakan satu langkah penting dalam memastikan kumpulan terpinggir seperti pekerja asing tanpa dokumen mendapat akses kepada keadilan melalui Jabatan Buruh.

“Kami berharap dengan keputusan Mahkamah Rayuan ini, Jabatan Buruh kini akan mempunyai mandat yang tidak berbelah bahagi untuk mengatasi sebarang percubaan licik menggunakan Akta Imigresen untuk mengatasi hak asasi manusia,” kata Das dalam kenyataan.

Beliau berkata, hakim Mahkamah Rayuan Ravinthran Paramaguru memutuskan bahawa tiada sebarang peruntukan dalam Akta Kerja dan Akta Kerja (Sekatan) yang menghalang seseorang pekerja daripada mendekati mahkamah bagi mendapatkan tebus rugi.

“Mahkamah Buruh tidak seharusnya menutup peluang bagi pekerja tanpa dokumen tanpa membenarkannya mengemukakan rungutan,” katanya.

Pada Ogos 2018, Mahkamah Buruh Pelabuhan Klang menolak tuntutan seorang pekerja tanpa dokumen terhadap majikan terdahulunya, Angie Lee, untuk gaji yang tidak dibayar melebihi RM30,000. Pekerja itu, yang digelar Nona, kemudian merayu keputusan tersebut.

Pada 2019, Mahkamah Tinggi Shah Alam memutuskan bahawa Mahkamah Buruh mesti mendengar kes Nona, tetapi keputusan ini kemudian dirayu majikan terbabit.

Das berkata, Nona meminta bantuan Tenaganita pada pertengahan 2017 selepas melarikan diri daripada majikannya setelah berkhidmat selama empat setengah tahun.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.