
Santiago berkata wartawan memainkan peranan penting dalam mendokumentasikan realiti yang sering sengaja disembunyikan, khususnya apabila melibatkan komuniti rentan.
“Menahan seorang wartawan ketika menjalankan tugas, memberi mesej menakutkan, bukan sahaja kepada pengamal media tetapi juga kepada orang ramai, yang hak mereka untuk mendapatkan maklumat akhirnya terjejas,” katanya dalam satu kenyataan.
Kalidas, wartawan portal berita Tamil Thinathanti, dilaporkan ditahan polis di IPD Kulim berhubung dakwaan menceroboh ketika membuat liputan isu berkaitan pendatang tanpa dokumen.
Ketua Polis Kedah Adzli Abu Shah mengesahkan penahanan 10 lelaki, termasuk seorang wartawan, kerana didakwa menceroboh masuk ke tapak kilang yang sedang dalam pembinaan.
Beliau berkata kumpulan itu tidak berpuas hati dan mempersoalkan pengambilan pekerja asing sedangkan ramai penduduk tempatan layak untuk pekerjaan di situ.
Santiago berkata pihak berkuasa perlu bertindak secara berhemah serta mematuhi bukan sahaja peruntukan undang-undang, tetapi juga semangat perlindungan perlembagaan terhadap kebebasan bersuara.
Beliau berkata pembebasan segera Kalidas adalah langkah pertama yang perlu untuk memulihkan keyakinan terhadap undang-undang.
“Selain itu, perlu ada penilaian serius terhadap bagaimana undang-undang digunakan dalam kes yang melibatkan wartawan,” katanya.
Majlis Media Malaysia semalam berkata pihaknya memandang serius penahanan wartawan itu, dan kerja kewartawanan – termasuk berada di lokasi, membuat pemerhatian dan mengumpul maklumat – adalah penting dalam melaporkan perkara berkepentingan awam.
“Sehubungan itu, tafsiran ‘pencerobohan’ dalam konteks liputan berita mesti diperjelaskan dengan teliti bagi mengelakkan kerja wartawan dikriminalkan,” katanya.