Kenaikan suhu, jerebu diramal mulai Julai – Sept

Kenaikan suhu, jerebu diramal mulai Julai – Sept

Pengaruh faktor luar seperti ribut tropika di negara berhampiran seperti Filipina boleh menyebabkan keadaan menjadi kering di Semenanjung.

Ketua pengarah Jabatan Meteorologi berkata, kebakaran hutan mungkin berlaku di Indonesia akibat cuaca kering dan angin dari arah barat daya membawa asap ke Malaysia dalam bentuk jerebu. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) menjangkakan kenaikan suhu serta fenomena jerebu di negara ini pada Julai hingga September ini.

Ketua Pengarahnya, Muhammad Helmi Abdullah berkata, pengaruh faktor luar seperti ribut tropika di negara berhampiran seperti di Filipina boleh menyebabkan keadaan menjadi kering di Semenanjung.

“Di Indonesia, berkemungkinan berlaku kebakaran hutan kerana cuaca kering adalah tinggi dan angin akan datang dari arah barat daya (membawa asap) ke negara kita dalam bentuk jerebu,” katanya menurut laporan Bernama.

Kelmarin, MetMalaysia mengeluarkan kenyataan berkaitan Monsun Barat Daya yang dijangka bermula Sabtu ini dan berterusan hingga pertengahan September.

Helmi berkata, kejadian itu akan menyebabkan pengurangan pembentukan awan hujan dan mengalami hari tanpa hujan serta menghasilkan taburan hujan yang rendah.

Bagaimanapun, hujan lebat berserta angin kencang dan petir berikutan fenomena garis badai masih boleh berlaku di pantai barat Semenanjung dan barat Sabah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.